SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendenda Astro kerana menyiarkan dokumentari Al Jazeera “Murder In Malaysia” pada 2015, lapor Malaysiakini.
Notis kompaun, yang dilihat oleh Malaysiakini dihantar ke Measat Broadcast Network Systems Bhd yang mengendalikan Astro pada 7 Julai.
Dokumentari mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu, warga Mongolia disiarkan Astro di Saluran 153 pada 11 September 2015.
Mengesahkan perkara ini, SKMM berkata kepada Malaysiakini yang kompaun itu dikeluarkan kepada Astro kerana menyiarkan kandungan “jelik” yang juga melanggar Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pengawal selia itu berkata syarikat berkenaan didapati bersalah menyiarkan episod tersebut dengan niat menyinggung perasaan pihak berkaitan.
Astro dikenakan denda yang secara keseluruhannya berjumlah RM4,000 atau RM1,000 bagi setiap kali dokumentari itu disiarkan.
Measat mempunyai masa 30 hari untuk membuat rayuan terhadap kompaun tersebut.
Tindakan terbaru ini muncul setelah siasatan polis terhadap dokumentari lain “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”, yang baru-baru ini disiarkan dalam program 101 East Al Jazeera.
Perbadanan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata pada 20 Julai, yang Al Jazeera tidak memiliki lesen untuk memfilem dan menyiarkan dokumentari itu, yang menunjukkan dakwaan penganiayaan pendatang di Malaysia semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Polis sudah memanggil enam kakitangan Al Jazeera untuk disoal siasat. – 22 Julai, 2020.
Komen