Shahrizat: DAP umpama buaya, tunggu masa nak melibas


Muzliza Mustafa

Ketua Pergerakan Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan DAP seperti haiwan ganas yang hanya menunggu masa untuk "menghancurkan orang Melayu". – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2017.

WANITA Umno mengisytihar perang terhadap DAP yang dianggap “musuh politik paling berbahaya” bagi parti tersebut dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua pergerakan itu, Shahrizat Abdul Jalil juga menyifatkan DAP seperti haiwan ganas yang hanya menunggu masa untuk “menghancurkan orang Melayu”.

Dalam teks ucapannya hari ini, Shahrizat berkata DAP berada di dalam satu lubuk bersama golongan yang kecewa dengan BN.

“Semua yang tiada tempat dalam BN, tidak kira yang dulu dengan BN, tapi pilih hendak keluar BN, yang tak mampu hancurkan BN, yang dah lama simpan dendam, mahu melihat BN tumbang, berkumpul dalam lubuk yang sama.

“Mereka tidak sedar, dalam lubuk itu ada buaya yang besar. Ekornya menunggu masa untuk melibas.

“Inilah DAP, parti Dinasti Lim yang diperintah sejak 1966 iaitu 52 tahun yang lalu. Tak pernah bertukar, tak pernah terusik Maharaja Lim menakluk politik DAP,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno di Kuala Lumpur hari ini.

“Dinasti Lim” yang disebut Shahrizat merujuk kepada gandingan kuasa penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng dalam parti berkenaan.

“Lubuk” yang disebut oleh itu pula merujuk kepada blok baharu pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang kini dipimpin bekas ketuanya, Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, pemimpin Melayu dalam blok pembangkang itu sedar diri mereka dipergunakan untuk kepentingan DAP tetapi sanggup dilayan seperti itu semata-mata untuk meraih kuasa.

“DAP ini musuh politik yang paling bahaya. Musuh negara yang paling licik. Silap mata politik mereka penuh dengan muslihat. Guna Melayu hendak hancurkan Melayu. Peralat Melayu hendak bunuh Melayu.

“Mereka mencatur satu demi satu di belakang tabir pembangkang. Itu semua rahsia terbuka dalam politik.

“Parti serpihan yang memaut pada ekor DAP ini, PKR, Bersatu, Amanah, bukan mereka tidak tahu mereka dipandir kadukkan, mereka sedang dicucuk hidung, sedang dicaturkan.

“Tapi demi kuasa, mereka pejamkan mata, pekakkan telinga. Sanggup mereka bersekongkol dengan musuh politik yang dulu habis-habisan ditentang.”

Walau perkara itu tidak disebut semasa menyampaikan ucapan, ia terkandung dalam teks ucapan Shahrizat yang disiarkan melalui lidah rasmi parti tersebut, Umno Online.

Shahrizat turut meminta para perwakilan membandingkan prestasi pucuk pimpinan parti Umno dan pemimpin pembangkang dalam menjaga kebajikan rakyat.

Beliau memberi contoh, sumbangan dan bantuan yang disalurkan oleh pemimpin tertinggi Umno ketika banjir melanda Pulau Pinang pada bulan lalu.

“(Najib) tahu mengasingkan waktu bila musuh harus ditentang dan waktu bila pekerti harus dijulang,” katanya.

Katanya, Najib berjiwa besar yang sanggup menghulurkan bantuan ketika Pulau Pinang dilanda banjir pada bulan lalu.

“Datuk Seri Najib sendiri turun bersama isteri, meredah air banjir di Bukit Mertajam, merasai sendiri kesusahan rakyat di sana. Siap umum bakal peruntukkan projek bernilai RM1 bilion untuk mitigasi banjir di negeri pembangkang tersebut.

“Sebelum itu, pukul 3 pagi (naib presiden Umno) Datuk Seri Zahid (Hamidi) jawab panggilan Lim Guan Eng dan terus hantar bantuan. Dato’ Sri Hisham (Hishammuddin Hussein) juga kerah beribu anggota pertahanan bantu segera selamatkan rakyat Pulau Pinang.

“Apa akan ada pemimpin-pemimpin seperti ini dalam DAP atau PKR atau PBBM? Pemimpin yang rela mengenepikan emosi, kemarahan dan kebencian. Menggantikan ia dengan bantuan dan pertolongan tanpa syarat?,” soalnya.

Beliau juga mahu jentera pilihan raya pergerakan itu berada di tahap cemerlang untuk menyokong kempen Umno memandangkan pilihan raya ke-14 adalah yang paling penting.

Tegasnya, Wanita Umno perlu bersedia untuk memainkan peranan dalam “perang besar” kali ini.

“Dalam pilihan raya umum ke-14 ini, kita mahu berjihad dan memastikan negara tidak tewas kepada pembangkang,” katanya

Dalam ucapannya, Shahrizat turut menyatakan perhargaan kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor atas sumbangan yang disalurkan melalui program jagaan awal kanak-kanak Program PERMATA.

Katanya, Rosmah juga menjadi pendorong untuk mewujudkan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan juga usaha untuk menubuhkan Mahkamah Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Dengan penuh bersemangat turut melaungkan tekad bahawa pergerakan itu akan memastikan kemenangan Umno dalam pilihan raya akan berlangsung tidak lama lagi.

“Sekali anak bangsa kami disentuh, Siang malam Wanita rempuh.

“Sekali Wanita perang, jangan siapa berani halang, Sekali Wanita perang, semua petualang pasti kecundang, Sekali Wanita perang, musuh tumbang baru pulang.

“Biar berkecai jagat raya, Biar terbelah langit angkasa, Ini perang mesti menang,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh para perwakilan. – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen