USAHA bekas pengerusi Tabung Haji Azeez Abdul Rahim menepis dakwaan salah laku mengaitkan dirinya sewaktu mengetuai lembaga itu disambut dengan sindiran di Dewan Rakyat.
Drama bermula apabila Abdul Azeez (BN – Baling) cuba menangkis tuduhan berkenaan sewaktu ucapannya membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mengambil peluang membersihkan namanya dengan memperjelas dakwaan penyelewengan yang berlaku sewaktu beliau menjadi pengerusi lembaga tersebut.
Ucapan berkenaan dicelah Dr Mahathir Mohamad (PH – Langkawi) yang menyebut Azeez sepatutnya menjawab tuduhan berkenaan di mahkamah.
“Yang Berhormat akan berpeluang menjelaskan segala-galanya bila dalam mahkamah,“ kata Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri.
Ia menyebabkan Azeez dengan lantang mendakwa beliau tidak pernah dituduh di mahkamah kerana kes berkaitan skandal Tabung Haji.
“Saya belum dituduh lagi untuk maklumat Langkawi (Dr Mahathir) saya tidak ada satu kes dituduh atas (skandal) Tabung Haji. Dalam tempoh (ini) satu (pun) tidak ada.
“Tolong semak faktar, yang berhormat,” katanya.
Azeez seterusnya mendakwa tuduhan rasuah yang mengaitkan dirinya juga telah dimulakan oleh Dr Mahathir.
“Ini adalah yang disebut Langkawi. Langkawi dulu duduk sana (semasa jadi perdana menteri) kata inilah muka penyangak Tabung Haji.
“Saya berada di situ tapi hakikatnya saya tidak pernah ada sebarang tuduhan,” katanya.
Azeez yang merupakan bekas pengerusi Tabung Haji berdepan dengan dengan 12 tuduhan melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM144.6 juta.
Azeez tidak mengaku bersalah apabila dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun lepas.
Pada 23 Mei lalu, SPRM menyerbu rumah dan pejabat Abdul Azeez dan merampas RM500,000 wang tunai serta lebih 20 mata wang asing dengan nilai tukaran RM1.2 juta.
Bernama kemudian melaporkan serbuan itu untuk membantu siasatan berkaitan pelantikan kontraktor untuk projek melibatkan Tabung Haji.
Selain Azeez, abangnya Abdul Latif Abdul Rahim turut disiasat. – 21 Julai, 2020.
Komen