Thailand benarkan warga asing lanjutkan visa


Thailand hari ini meluluskan lanjutan visa automatik sehingga 26 September depan kepada warga asing yang terkandas di negara itu akibat sekatan perjalanan. – Gambar EPA, 21 Julai, 2020.

THAILAND hari ini meluluskan lanjutan visa automatik sehingga 26 September depan kepada warga asing yang terkandas di negara itu akibat sekatan perjalanan.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Traisuree Taisaranakul, berkata mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha hari ini meluluskan lanjutan visa automatik itu.

“Peraturan mandatori mewajibkan warga asing yang tinggal di Thailand melapor diri apabila tinggal lebih 90 hari juga digantung,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Bagi mengekang penularan Covid-19, Thailand mengisytiharkan darurat di seluruh negara sejak 26 Mac lalu.

Ia menutup sementara sempadannya dan melarang kemasukan warga asing, kecuali diplomat dan pemegang pas kerja.

Bermula 4 April lalu, Thailand memperluaskan larangan itu terhadap semua penerbangan penumpang antarabangsa.

Sejak itu, warga asing yang terkandas, berpusu-pusu ke pejabat imigresen seluruh negara untuk mendapatkan lanjutan visa.

Bagi mencegah penularan Covid-19 dan mengelak orang ramai bersesak di pejabat imigresen, kerajaan Thailand memberikan lanjutan visa automatik sejak 8 April lalu.

Sementara itu, Thailand melaporkan lima kes baharu Covid-19 membabitkan rakyat tempatan yang pulang dari luar negara dan tiada kes kematian dicatatkan sejak 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 3,255 dengan 58 kematian. – Bernama, 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen