
PUTRAJAYA menggunakan kuasa mutlaknya untuk mendiamkan pembangkang, kata Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa kerajaan semasa cuba memberi tekanan kepada ahli Parlimen pembangkang terutamanya kumpulan Bersatu yang dipertikaikan keahliannya.
Beliau berkata layanan tidak adil bukan saja berlaku kepada pemimpin “Bersatu Blackout” namun ahli Parlimen pembangkang lain turut berdepan nasib sama.
“Kita dapati anggota parti Bersatu Blackout disoal siasat tidak berhenti-henti. Rumah beberapa anggota parti pembangkang digeledah dan isi rumah disoal.
“Ada juga percubaan oleh anggota Kerajaan untuk menghalang kehadiran ahli parti pembangkang daripada menghadiri perhimpunan tertentu,” katanya semasa membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen daripada Bersatu sebelum ini dipecat selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat pada sidang 18 Mei lalu.
Antaranya ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Siasatan itu berkaitan kehilangan wang lebih RM200,000 dari kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya, Mac lepas.
Tambahnya kerajaan sepatutnya bersikap adil terhadap semua pihak dan tidak pilih kasih dalam melaksanakan undang- undang.
Ini apabila wujudnya situasi ada yang dituduh dalam mahkamah namun dilepaskan, katanya.
“Saya sedar kerajaan berkuasa. Kegunaan kuasa itu bukan bebas dari aturan peraturan.
“Jika kuasa diguna di luar peraturan, ia menjadi jenayah salah guna kuasa. Ada undang-undang berkenaan dengan salah guna kuasa. Undang-undang ini hendaklah dihormati,” katanya. – 21 Julai, 2020.
Komen