Pemuda Umno: Tak perlu tanding presiden, timbalan bila menang PRU


Diyana Ibrahim

PEMUDA Umno hari ini mencadangkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti diadakan jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan  Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

“Maka dengan itu, di pentas ini Pemuda nak cadangkan bila menang pilihan raya nanti, insya-Allah jawatan presiden dan timbalan presiden tidak perlu dipertandingkan.

“Buang persoalan itu jauh-jauh sekarang. Kita fokus bagi BN menang besar,” katanya.

Beliau juga turut menyeru akar umbi sayap itu terus memberi sokongan padu dan solidariti kepada Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi untuk terus mengemudi Umno.

Tegas beliau, ketika inilah akar umbi Umno harus lebih bersatu dan mengelakkan konflik dalaman parti yang boleh membawa kepada perpecahan lebih besar.

“Maka sayangilah Umno lebih dari kita sayang diri sendiri. Jangan sesekali kita gadaikan solidariti kepada parti. Umno inilah yang membawa kita di mana kita berdiri hari ini,” katanya yang turut menggesa anggota akar umbi agar tidak memandang rendah kemampuan parti Bersatu.

Terdahulu Khairy dalam ucapannya berkata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memomokkan rakyat terutama generasi muda dengan nostalgia dongeng mengenai segala kejayaan sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

Beliau tidak menolak legasi Dr Mahathir melalui projek pembangunan seperti pembinaan Menara Berkembar Petronas dan Litar Lumba Sepang, namun katanya pembangunan tersebut hanya tertumpu di Lembah Kelang saja.

Tambahnya jika hendak dibandingkan, pembangunan pada zaman pentadbiran Najib kini lebih menyeluruh.

“Tetapi hari ini ketidaksamarataan itulah yang sedang diperbetulkan. Bukan sekadar Lebuhraya Pan Borneo, tetapi projek seperti ECRL yang akan memacu kawasan Pantai Timur telah dimulakan. Ini bukan nostalgia dogeng. Ini realiti yang dibawa perdana menteri sekarang.” – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen