Pindaan undang-undang kawal ketum ditangguhkan


Diyana Ibrahim

Penangguhan pindaan undang-undang berkaitan penanaman tumbuhan psikoaktif termasuk ketum dibuat supaya ia dapat diperketatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

LARANGAN ke atas tanaman, jualan dan pemilikan tumbuhan psikoaktif seperti ketum masih belum diluluskan Parlimen memandangkan pindaan undang-undang belum diluluskan.

Ini berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini yang berkata pembentangan pindaan Akta Racun 1952 masih ditangguhkan.

Ia bagi memberi ruang kepada penubuhan dua jawatankuasa teknikal bagi memperhalusi akta tersebut, katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata penangguhan pindaan itu dibuat supaya undang-undang dan penguatkuasaan berkaitan penanaman tumbuhan psikoaktif termasuk ketum dapat diperketatkan.

“Oleh yang demikian satu pendekatan yang lebih holistik dan menyeluruh perlu diambil merentasi kementerian,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.

Katanya dua jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Teknikal Kajian Saintik dan Komesial.

Ia akan dianggotai oleh pelbagai kementerian seperti KDN, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).

Pindaan Aktu Racun itu digerakkan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Akta 366 ialah akta yang memperuntukkan larangan ke atas aktiviti perladangan, penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan, penjualan dan pemilikan pokok ketum.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada Julai lepas berkata menjangkakan pindaan akta itu akan dibentangkan pada Oktober namun ia tidak berlaku berikutan pertukaran kerajaann

Kerajaan PH pada masa itu tidak berhasrat menyenaraikan ketum dan alkaloidnya dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pindaan ke atas Akta Racun 1952 itu bagi mengawal penanaman, pemilikan, pengedaran dan pengambilan ketum.

Ia antara lain memperuntukkan hukuman pencegahan bagi kesalahan berkaitan ketum.

Barisan Nasional (BN) pada 2015 berusaha menyertakan ketum dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya melalui pindaan ke atas akta tersebut.

Ia bagi menyenaraikan tumbuhan itu setaraf seperti pokok kanabis, popi dan koka.

Timbalan menteri kesihatan ketika itu Dr Hilmi Yahaya telah membentangkan pindaan tersebut bagi bacaan kali kedua di Parlimen.

Bagaimanapun, pembentangan itu ditarik balik kerana terdapat bantahan terhadap cadangan takrifan penyalahgunaannya kerana dikhuatiri boleh berlaku penganiayaan kepada penduduk kampung.

Tumbuhan itu digunakan secara tradisi untuk tujuan perubatan dan kesihatan diri. – 21 Julai, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen