KJ cabar Dr Mahathir raih majoriti dua pertiga pada PRU14


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya hanya gah dari segi luarannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2017.

KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar mencabar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membuktikan kekuatan pengaruhnya pada pilihan raya umum akan datang dengan memenangi majoriti dua pertiga.

Ketua Pemuda Umno itu yakin ia sukar dilakukan pada masa sekarang kerana semasa zaman Dr Mahathir berkuasa, bekas perdana menteri itu mempunyai kelebihan mengawal media arus perdana tanpa kehadiran media alternatif.  

“Acap kali beliau mendabik dada dan mengingatkan kita akan kejayaan beliau memenangi lima pilihan raya lalu, setiap kali dengan majoriti dua pertiga.

“Mereka yang hanyut dengan nostalgia dongeng ini lupa bahawa persekitaran politik zaman dahulu berbeza berbanding hari ini. Media arus perdana dikawal sepenuhnya. Media alternatif kurang ada.

“Kalau zaman beliau ada Internet, ada blog, ada segala bagai media sosial hari ini, saya teringin nak tengok sama ada beliau masih boleh menang dengan mudah dua pertiga,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar sayap Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam ucapannya itu, Khairy banyak membidas pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun yang disifatkan hanya berjaya dari segi luaran namun hakikatnya tidak begitu.

Malah katanya, tidak ada langsung kebebasan bersuara baik dalam parti atau umum semasa pentadbiran Dr Mahathir.

Khairy menyifatkan Mahathir sebagai pemimpin kuku besi dengan menyenaraikan isu kontroversi semasa pentadbiran bekas perdana menteri itu antaranya Ops Lalang, tragedi Memali dan pemecatan ketua hakim negara.

“Ada pula yang mungkin kata, kenapa dulu senyap? Tak cakap apa-apa? Jawapannya mudah, dulu tiada kebebasan bersuara, baik di luar mahupun dalam parti.

“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan dijadikan senjata untuk menahan individu yang dirasakan ancaman politik tanpa perlu dibicara,” katanya.

Khairy turut menyentuh mengenai insiden pemenjaraan bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat.

“Jangan lupa timbalan perdana menteri dia sendiri pun kena tumbuk hingga mata lebam.

“Auku dijadikan pendinding untuk menghalang mahasiswa bersuara. Dalam parti kerajaan dan negara wujud budaya takut. Kuku besi. Sekarang dia bercakap macam dia orang suci dan kita pula zalim dan diktator,” katanya yang turut menayangkan gambar Anwar dengan mata lebam.

Insiden itu berlaku pada 29 September, 1998 apabila Anwar muncul di mahkamah dengan mata lebam didakwa akibat dibelasah ketua polis negara ketika itu, Abdul Rahim Noor. – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Penyokong-penyokong BN setia bukan kerana pemimpin-pemimpin yang ada di dalam BN tetapi mereka setia menyokong BN kerana yakin dan percaya hanya BN sahaja mampu menjaga kebajikan mereka walau pun pemimpinnya bertukar ganti.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan