JUMLAH kematian akibat Covid-19 di Brazil meningkat empat kali ganda sejak Mei lalu, dengan angka terkini melebihi 80,000 kes, sekali gus menjadi negara kedua terjejas teruk selepas Amerika Syarikat (AS), menurut Kementerian Kesihatan.
Pada 21 Mei lalu, jumlah kes kematian dicatatkan di negara dengan populasi teramai di Amerika Selatan adalah 20,000 orang.
Baru-baru ini, negara Amerika Latin dengan populasi penduduk berjumlah 212 juta orang mencatat lebih 1,000 kematian sehari, namun semalam hanya 632 dicatatkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhannya 80,120 orang dengan 2.1 juta jumlah jangkitan atau mungkin lebih ramai.
Presiden Jair Bolsonaro yang turut positif Covid-19 akibat tidak mengendahkan bahaya virus itu dan dikritik kerana tidak memainkan peranan melawan pandemik di peringkat awal, kini menjalani tempoh kuarantin, bersama beberapa menteri Kabinet lain.
Seperti Presiden AS Donald Trump, Bolsonaro, 65, turut menyebut ubat anti-malaria kloroquine dan hidroksikloroquine sebagai rawatan dan menganggapnya sebagai ubat yang terakhir, walaupun kurang bukti keberkesanannya terhadap Covid-19.
Secara puratanya, Brazil mencatatkan lebih 1,040 kematian baharu dan 33,000 jangkitan baharu sehari pada minggu lalu.
Ahli epidemiologi di University of Brasilia Mauro Sanchez berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan Brazil sudah sampai ke tahap tertinggi, tetapi masalahnya ialah ia tetap kekal tinggi dan dianggarkan dalam tempoh masa yang panjang.
“Untuk memastikan ia terkawal bergantung pada apa yang kita lakukan daripada segi dasar awam dan sama ada orang mengikutinya,” katanya. – AFP, 21 Julai, 2020.
Komen