Ahli Parlimen mahu Labuan jadi milik Sabah semula


Diyana Ibrahim

Labuan masih tidak membangun walaupun sudah 36 tahun dipegang kerajaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

LABUAN patut dipulangkan semula kepada Sabah jika kerajaan Persekutuan masih gagal membangunkan wilayah itu, kata Ahli Parlimen kawasan itu Rosman Isli.

Ahli Parlimen daripada Warisan itu berkata cadangan itu dibuat kerana wilayah tersebut masih lagi mundur dan tidak ada pembangunan dapat dilihat sejak 36 tahun ia dipegang kerajaan Persekutuan.

“Yang perlu untuk kita dengar dari kerajaan Persekutuan (adalah) sanggupkah (mereka) melaksanakan tanggungjawab ataupun komitmen yang perlu dibuat?

“Kalau tak setuju jadi jelas, pulangkan hak dan wang yang sepatutnya diterima Sabah. Sabah mempunyai keupayaan dengan kewangan yang cukup besar (membangunkan Wilayah),” katanya semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian sebagai respond soalan Mohamad Alamin (BN- Kimanis)

Terdahulu Mohamad bertanya kepada Rosman adakah beliau setuju sekiranya penduduk Labuan membuat gerakan membawa memorandum untuk keluar dari Wilayah Persekutuan.

Tambahnya, 85% penduduk Labuan sehingga sekarang berdepan masalah bekalan air, malah kerajaan Persekutuan juga gagal menjaga prasarana sedia ada.

“Kerajaan Persekutuan bukan saja gagal bawa pembangunan baru yang cukup, tapi juga gagal menjaga (prasarana) yang sedia ada.

“Kepada menteri belia dan sukan sila datang dan lihat sendiri Kompleks Labuan. Jangan lupa untuk lihat sendiri keadaan kolam renang yang sudah enam tahun rosak,” katanya.

Pada 15 Julai 1946, Labuan menyertai Tanah Jajahan Mahkota British yang kemudiannya menjadi sebahagian dari Sabah dan Malaysia pada 1963.

Pada 1984, Sabah menyerahkan Labuan kepada kerajaan Persekutuan.

Labuan kini dikenali sebagai salah satu daripada tiga Wilayah Persekutuan Malaysia.

Labuan diisytiharkan Pusat Kewangan Pesisir Antrabangsa (IOFC) dan pulau bebas cukai pada 1990. – 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen