Kes Covid-19 catat peningkatan dengan 21 kes baharu


Ragananthini Vethasalam

Malaysia mencatatkan 21 kes baharu Covid-19 yang mana kebanyakannya daripada penularan tempatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

MALAYSIA menyaksikan peningkatan dua digit bagi kes baharu Covid-19 dua hari berturut-turut, dengan 21 lagi kes baharu dilaporkan setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 8,800.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran Putrajaya akan melaksanakan satu lagi lockdown sekiranya rakyat Malaysia gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata, 15 daripada 21 kes adalah penularan tempatan manakala enam merupakan kes import dari luar negara.

Beliau berkata kluster baharu ‘rumah warga emas Kluang’ menyumbang kepada jangkitan baharu menerusi penularan tempatan, dengan 13 kes kes dikesan.

Dua lagi kes dikesan ketika ujian saringan pra-pembedahan, yang mana satu kes dikesan di Johor dan satu lagi di Negeri Sembilan.

Kes aktif pula kekal pada 122.

Sementara itu, dua orang dilaporkan pulih dan didiscaj daripada hospital hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes pulih kepada 8555.

Tiada kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian kekal 123.

Tiga pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana seorang daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan. – 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen