Thailand bincang fasa ke-6 longgarkan sekatan


Thailand sedang mempertimbangkan fasa ke-6 yang berkaitan kemasukan pekerja migran untuk sektor pembinaan dan pengeluaran makanan serta pempamer asing, kru filem dan pelancong. – Gambar EPA, 20 Julai, 2020.

PUSAT Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand akan membincangkan fasa keenam untuk melonggarkan sekatan pergerakan pada minggu ini, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata fasa itu berkaitan dengan kemasukan pekerja migran untuk sektor pembinaan dan pengeluaran makanan serta pempamer asing, kru filem dan pelancong. 

Minggu depan sebuah jawatankuasa kecil CCSA akan membincangkan mengenai keputusan eksekutif pentadbiran awam semasa darurat dan kesannya terhadap kesihatan awam, ekonomi dan keselamatan.

Taweesin berkata ratusan diplomat asing dan pegawai diplomatik yang dikuarantin di 22 hotel, diperiksa setiap hari. Mereka menjalani kuarantin dengan kos ditanggung sendiri. 

Beliau berkata CCSA akan menyediakan 1,000 lagi bilik hotel untuk tujuan itu.

Menjawab tuduhan terdapat kelonggaran atas faktor politik, Taweesin berkata semua pengunjung perlu mematuhi prosedur kawalan penyakit dan tiada mana-mana pihak terkecuali daripada menjalani perintah kuarantin. – Bernama, 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen