JUMLAH kematian akibat pandemik Covid-19 di Peru melepasi 13,000 kes, kata kementerian kesihatan semalam, sehari sebelum restoran di negara itu dijadual beroperasi semula.
Sebanyak 189 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan seramai 13,187 orang meninggal dunia sehingga kini.
Jumlah keseluruhan kes positif di Peru kini mencecah 353,590, selepas 4,090 kes baharu direkodkan semalam.
“Kita sedang melihat sedikit kenaikan. Secara relatif, kita mampu tangani masalah ini walaupun dalam keadaan yang terbatas, tetapi jJika kes semakin meningkat, langkah lain perlu diambil,” kata Menteri Kesihatan Pilar Mazzetti kepada stesen televisyen Canal N.
Peru, yang mempunyai 33 juta penduduk, adalah negara kedua paling tinggi di Amerika Latin mencatat kes positif Covid-19 selepas Brazil. Bagi angka kematian pula, Peru di tempat ketiga di belakang Brazil dan Mexico.
Hospital di Peru hampir lumpuh susulan kenaikan mendadak bilangan pesakit Covid-19, ditambah pula kekurangan alat perubatan dan sumber lain.
Semalam, doktor dan jururawat di bandar Arequipa mengadakan bantahan semasa Presiden Martin Vizcarra mengadakan lawatan.
1 Julai lalu Peru menamatkan perintah berkurung wajib di 25 wilayah termasuk Lima. Kerajaan mendakwa wabak semakin berkurangan meskipun 70% daripada jumlah jangkitan direkodkan di wilayah berkenaan.
Mulai hari ini, 40% restoran dibuka sebagai usaha kerajaan merancakkan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat Covid-19. – AFP, 20 Julai, 2020.
Komen