Adun Rahang tarik semula keputusan keluar DAP


Ravin Palanisamy

Adun Rahang Mary Josephine Prittam Singh menarik semula keputusan keluar DAP. – Gambar DAP, 20 Julai, 2020.

ADUN Rahang Mary Josephine Prittam Singh menarik semula keputusan keluar DAP, sepuluh hari selepas mengumumkannya.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke hari ini berkata Mary Josephine membuat keputusan tersebut selepas mereka bertemu di Kuala Lumpur minggu lalu.

“10 hari lepas (10 Julai) beliau adakan sidang media umumkan keluar parti. Kemudian saya juga adakan sidang media dan hantar surat kepadanya meminta beliau pertimbang semula dan tarik semula keputusan” kata Loke pada sidang media yang turut dihadiri Mary Josephine dan veteran DAP Lim Kit Siang, hari ini.

Menurut Loke, beberapa pemimpin DAP juga menggesa Adun Rahang itu supaya menarik keluar keluar dari parti.

“Beliau sudah 46 tahun bersama DAP dan sangat disayangi dan disegani oleh ramai ahli parti di seluruh negara.

“Jumaat lepas kami bertemu di Kuala Lumpur dan beliau setuju untuk tarik semula keputusannya,” jelas Loke.

Ketika mengumumkan keluar DAP pada 10 Julai lalu, Mary Josephine akan kekal menyokong Pakatan Harapan yang mentadbir Negeri Sembilan.

Adun dua penggal sejak 2013 itu berkata beliau berbuat demikian selepas berkali-kali diketepikan oleh DAP dalam beberapa keputusan parti.

“Ini satu keputusan yang paling berat. Saya bersama DAP sejak 46 tahun lalu. Saya masih menyokong kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya juga letak jawatan sebagai setiausaha kerja Wanita DAP pusat, naib ketua Wanita Pakatan Harapan, ketua Wanita DAP Negeri Sembilan dan timbalan ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu sidang media pada 10 Julai.

Pada sidang media hari ini Mary Josephine berkata beliau menarik semula keputusan kerana merindui parti yang disertainya sejak 46 tahun lalu.

“Saya kembali semula kerana sangat menyakitkan meninggalkan DAP, tetapi apa yang lebih menyakitkan ialah apabila merindui sesuatu yang saya sayang dan jaga selama 46 tahun.

“Sebab itulah saya berjumpa Anthony, beritahu beliau saya mahu kembali semula,” kata Mary Josephine, 71, menambah beliau tidak mahu mengkhianati pengundi di Rahang.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada parti kerana sedia menerimanya semula.

“Anda beri saya keyakinan untuk menjaga DUN Rahang, menjaga rakyat baik yang mengundi saya ataupun tidak. Selagi anda penduduk di DUN Rahang, saya tak akan tinggalkan anda, saya akan sentiasa bersama anda.”

Menurut Mary Josephine lagi, beliau akan mendapatkan semula jawatannya sebagai setiausaha kerja Wanita DAP pusat, naib ketua Wanita PH, ketua Wanita DAP Negeri Sembilan dan timbalan ketua Wanita PH Negeri Sembilan.

Mary Josephine dipercayai membuat keputusan keluar dari DAP kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti negeri yang tidak menyokong calon pengerusi majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) yang diumumkan oleh kerajaan negeri. – 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen