Covid-19: PBB rayu bantuan kewangan untuk Sudan


Kerajaan Sudan mengeluarkan arahan perintah berkurung dan memerintahkan semua premis perniagaan ditutup mulai jam 8 malam bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar EPA, 19 Julai, 2020.

PBB semalam membuat rayuan meminta $282 juta untuk membantu Sudan menangani wabak Covid-19 dan ekonominya yang terjejas susulan berjuta-juta penduduk di negara berkenaan berada dalam kelaparan.

“Covid-19 melanda Sudan ketika ramai penduduk sedang berjuang untuk memenuhi keperluan asas mereka dan sistem kesihatan sudah berada dalam keadaan tertekan,” kata Koordinator Kemanusiaan PBB Sudan Gwi-Yeop Son.

Beliau berkata pandemik memburukkan lagi krisis ekonomi, kuasa membeli juga terjejas sementara larangan pergerakan menyekat akses orang ramai untuk mendapatkan makanan, rawatan kesihatan serta perkhidmatan asas.

Sudan secara rasmi merekodkan lebih 10,000 kes akibat Covid-19 dan kira-kira 650 kematian dicatatkan mendorong pihak berkuasa untuk menguatkuasakan semula perintah pengurungan di Khartoum termasuk ibu kota yang dilonggarkan sekatan awal bulan ini.

Ini berlaku selepas ekonomi yang terjejas menyebabkan orang ramai beratur berjam-jam untuk membeli makanan dan bahan bakar.

Inflasi melepas 114 peratus pada Mei.

Tinago Chikoto, timbalan ketua pejabat koordinasi kemanusiaan PBB untuk Sudan berkata lebih 9.6 juta orang, hampir seperempat daripada keseluruhan penduduk berdepan masalah kelaparan yang teruk, angka tertinggi yang pernah dicatatkan di Sudan. – AFP, 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen