KERAJAAN Perikatan Nasional yang memiliki majoriti tipis di Parlimen boleh mempertimbangkan perjanjian “kepercayaan dan bekalan” dengan pembangkang sebagai pertukaran untuk pembaharuan, kata penganalisis politik Dr Wong Chin Huat.
Pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin nyaris tidak dapat menjayakan usulnya untuk menggugurkan Speaker Dewan Rakyat Isnin lalu, apabila hanya memiliki majoriti 111 orang berbanding 109 ahli Parlimen pembangkang, ini adalah tanda kesulitan yang mungkin dihadapi Perikatan dalam pengundian di Dewan Rakyat pada masa hadapan.
Ketika spekulasi pilihan raya umum akan berlangsung terus diperkatakan, kemampuan Perikatan untuk menawarkan kesatuan gabungan politik itu juga dilihat makin meruncing, di samping pelbagai kenyataan daripada PAS dan Umno mengenai tidak mahu memberi kerusi mereka dalam pembahagian kerusi pilihan raya kepada Bersatu, parti yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Pilihan raya baharu tidak semestinya dapat menyelesaikan ketidakstabilan politik atau memperoleh majoriti yang jelas bagi satu pentadbiran yang sudah biasa dilalui rakyat Malaysia di bawah enam dekad pemerintahan Barisan Nasional.
Oleh itu, sudah tiba masanya negara mempertimbangkan perjanjian ‘keyakinan dan sokongan’ gaya Westminster, kata Wong.
Perjanjian itu merujuk kepada sokongan ahli Parlimen bukan kerajaan dan bebas untuk percaya kepada usul kerajaan serta bagi meluluskan rang undang-undang belanjawan.
“Isu semasa dalam situasi politik negara adalah apakah kerajaan memerlukan majoriti untuk memastikan kestabilan politik. Tetapi tidak ada parti politik yang dapat memegang lebih dari separuh kerusi, kerana ahli Parlimen Malaysia Timur semakin berfikiran bebas,” katanya dalam rancangan bual bicara berbahasa Mandarin The Malaysian Insight baru-baru ini.
Ada peluang untuk kestabilan politik jika kerajaan dan pembangkang dapat mencapai persetujuan ‘keyakinan dan sokongan’, dengan syarat ada kemahuan politik dan kematangan untuk melakukan perubahan.
“Muhyiddin boleh berjanji untuk laksanakan reformasi, mengurangkan pemusatan kuasa, dan perkongsian kuasa di Parlimen, sehingga Pembangkang dapat menjadi pemantau terhadap kerajaan,” saran Wong.
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata perjanjian seperti itu secara teorinya boleh dilaksanakan sekiranya Perikatan bersedia untuk berunding.
“Perikatan harus berunding dengan pembangkang untuk meluluskan Belanjawan. Perikatan dapat menawarkan reformasi dasar sebagai pertukaran sokongan.
“Tidak mustahil, cuma kita tidak melihat trend seperti ini pada masa ini,” katanya dalam rancangan bual bicara yang sama.
Perikatan mempunyai margin tipis empat MP, dengan angka 113, berdasarkan jumlah yang diambil ketika mengundi untuk pemecatan Speaker Isnin lalu.
Dua daripada ahli parlimennya tidak memilih kerana satu adalah timbalan speaker yang mempengerusikan sesi tersebut, dan seorang lagi mengambil cuti sakit.
Sementara itu, pembangkang mempunyai 109 ahli Parlimen yang tidak mahu Speaker disingkirkan.
Teo berkata keseimbangan kuasa yang hampir sama ini akan meningkatkan peluang bahawa pilihan raya umum akan dilangsungkan tidak lama lagi.
Beliau khuatir ini akan menyebabkan keadaan politik semasa terus berubah dengan pengundi menjadi mangsa ketika ahli politik fokus pada kemenangan, dan bukannya membuat dasar.
Bagi menjayakan sistem ‘keyakinan dan sokongan’ dapat dicapai, Wong berkata bahawa reformasi parlimen mesti wujud untuk mempromosi persaingan sihat pelbagai parti.
Negara-negara lain yang mempunyai sistem sedemikian berjaya dilaksanakan di Parlimen pelbagai negara termasuk Britaian, New Zealand, Ireland, India dan Kanada.
Sudah tiba masanya politik Malaysia yang matang keluar dari kebuntuannya, atau ketidakmampuan untuk mencapai kata sepakat akan menyebabkan ketidakstabilan yang lebih buruk dan akan menyaksikan lebih banyak tindakan melompat parti, kata Wong. – 20 Julai, 2020.
Komen