Najib cuba kembalikan fokus Umno menjelang PRU14


Sheridan Mahavera

Presiden Umno Najib Razak tergelak melihat karikatur mengejek gabungan pembangkang yang ditampal di PWTC ketika Perhimpunan Agung Umno ke-71 berlangsung semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Disember, 2017.

PRESIDEN Umno Najib Razak menyampaikan mesej yang menggembirakan untuk akar umbi parti dalam satu taklimat tertutup semalam, menekankan tentang kepentingan parti terbesar negara itu ketika ia berdepan dengan apa yang dianggap sebagai pilihan raya umum paling kritikal.

Najib bercakap tentang tidak ada ruang untuk kesilapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang dijangka diadakan awal tahun depan – di hadapan pemimpin peringkat pertengahan yang bertanggungjawab sebagai jentera pilihan rayanya.

Difahamkan pada majlis taklimat itu, Najib mahu semua bahagian menyokong siapa pun pilihan parti pada PRU14, tanpa mengira sama ada calon itu popular di peringkat bahagian atau tidak.

Mesej itu disampaikan ketika panglima dalam 191 bahagian sudah mula giat mendapatkan sokongan untuk pemilihan parti yang dijangka akan diadakan selepas PRU14.

Najib dan kepimpinan tertinggi bimbang pemilihan parti akan menjejaskan usaha untuk mengumpulkan jentera parti yang bersatu padu pada PRU14.

Pada masa lalu, ada pemimpin peringkat bahagian bengang apabila tidak dipilih sebagai calon hingga menjejaskan jentera pilihan raya.

Ini antara masalah berlaku dalam Umno Selangor ketika PRU13 di mana ada pemimpin di bahagian mensabotaj kempen parti.

Presiden beritahu kami pemilihan paling penting ialah PRU. Lupakan pemilihan parti buat masa ini,” kata seorang pemimpin Umno Selangor.

“Ia amaran kepada mereka yang sudah pun mula berkempen untuk jawatan parti,” katanya dengan syarat tidak dinamakan.

Umno berdepan gabungan pembangkang yang termasuk dua bekas pemimpin besarnya, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Dua tokoh itu menubuhkan parti serpihan Bersatu yang semakin aktif berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, yang selama ini menjadi pangkalan sokongan utama Umno.

PH menggunakan kemarahan kalangan Melayu kelas bekerja dan pengundi luar bandar terhadap kerajaan tentang inflasi, tiada kenaikan gaji dan rumah tidak mampu milik.

Umno memegang 87 daripada 132 kerusi Parlimen dipegang Barisan Nasional (BN). Kira-kira 30 kerusi Parlimen dimenangi BN hanya menang tipis dengan majoriti bawah 2,000 undi.

Seorang perwakilan bahagian di Perak berkata walaupun majoriti undi Umno amat membimbangkan pada PRU14, masih ada pihak yang hanya mementingkan kepentingan peribadi.

“Kami tidak dapat nafikan ada yang perangai teruk dalam Umno. Tetapi apa yang penting ialah mereka itu tidak menjejaskan yang lain.”

Ahli Majlis Tertinggi Azalina Othman Said berkata pemimpin kanan parti tahu tentang kemungkinan pilihan calon parti akan menyebabkan perpecahan.

“Presiden kata kami perlu berkompromi tentang siapa yang terpilih. Ia isyarat yang akan ada banyak muka baharu tetapi saya percaya ini perkembangan yang perlu kita terima,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata mesej Najib ialah peringatan kepada pemimpin akar umbi supaya bekerja keras menjelang PRU14. – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Semestinya agenda PAU kali ini adalah untuk naikkan semangat dan motivasi ahli UMNO terutamanya aras akar umbi bagi menghadapi PRU14. Fokus untuk berminda kemenangan amat penting sekarang kerana ianya bakal disusuli dengan tindakan yang selari.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan