WALAUPUN timbul dakwaan mengenai penyeksaan psikologi, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau dilayan dengan profesional oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.
Bekas menteri belia dan sukan itu disoal siasat selama 11 jam pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan, dipercayai berhubung kehilangan wang tunai berjumah RM250,000 di kediamannya.
Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi (Amanah TBH) semalam membidas soal siasat yang mengambil masa lama dan menyifatkan ia sebagai satu penyeksaan psikologi.
“Saya ingin jelaskan ketika siasatan, para pegawai SPRM telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan profesional dan menurut lunas undang-undang.
“Berikan SPRM ruang secukupnya untuk menyiasat. Sesungguhnya, kebenaran akan ditegakkan pada akhirnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi Amanah TBH Ng Geok Chee berkata, tempoh siasatan yang panjang melanggar hak asasi untuk beristirahat seperti yang dinyatakan dalam Pasal 24 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
“Kami menekankan bahawa soal siasat yang tidak perlu dan berpanjangan adalah bentuk penyiksaan psikologi, kerana menimbulkan ketegangan yang luar biasa, membahayakan kesihatan mental seseorang dan memungkinkan salah guna kuasa ketika dalam tahanan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.
Ng mengulas mengenai siasatan SPRM terhadap Syed Saddiq selama 1 jam sehingga pukul 9 malam di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya. – 19 Julai, 2020.
Komen