BANDAR kedua terbesar Australia akan mewajibkan pemakaian pelitup muka di ruang awam, kata pihak berkuasa hari ini, dalam usaha Melbourne mempergiat usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Negeri Victoria, termasuk Melbourne, kini sudah melaporkan hampir 3,000 kes aktif Covid-19 selepas 363 jangkitan lagi dilaporkan hari ini walaupun perintah berkurung sudah 10 hari dilaksana.
Perdana Menteri Daniel Andrews berkata lebih lima juta orang di Melbourne dan bandar jirannya, Mitchell Shire akan diwajibkan memakai pelitup muka atau penutup muka di ruang awam bermula tengah malam Rabu sehingga Khamis.
“Kebanyakan kita tidak akan keluar rumah tanpa kunci, kita juga tidak akan keluar rumah tanpa telefon bimbit,” katanya pada sidang media.
“Anda tidak akan keluar rumah tanpa pelitup muka dan memakainya kerana ia perlu untuk menghentikan penularan virus.”
Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh didenda Aus$200 (AS$14)- walaupun Andrews berkata budi bicara akan terpakai untuk aktiviti tertentu seperti berlari atau melawat bank.
Bandana dan telekung akan diterima sebagai pelitup muka sehingga negeri itu mempunyai bekalan pelitup muka mencukupi, kata Andrews lagi, menambah ia merangkumi “apa sahaja yang boleh menutup muka”.
Keputusan itu menjadikan Melbourne adalah kawasan pertama di negara itu mewajibkan pelitup muka.
Pelitup muka jarang diamalkan di Australia dan tidak termasuk dalam usaha pencegahan Covid-19 sehingga sekarang.
Negeri dan jajahan lain di Australia sudah menutup sempadan mereka kepada penduduk Victoria dalam usaha mengekang penularan wabak, kerana kebanyakan kawasan sudah tidak melaporkan kes jangkitan tempatan berminggu lamanya.
Tetapi, jangkitan sudah sampai ke Sydney dengan kes jangkitan tempatan melonjak sejak beberapa minggu lepas selepas satu kluster berkaitan Melbourne dikesan.
Australia melaporkan hampir 12,000 kes Covid-19 dan 122 korban di negara dengan jumlah penduduk 25 juta orang itu. – AFP, 19 Julai, 2020.
Komen