35 juta rakyat Iran berdepan kemungkinan dijangkiti virus 


Iran menyaksikan 13,979 maut daripada 271,606 kes Covid-19 sejak ia melaporkan kes pertama pada pertengahan Februari. – Gambar EPA, 19 Julai, 2020.

PRESIDEN Hassan Rouhani berkata pada Sabtu yang 35 juta rakyat Iran bermungkinan dijangkiti koronavirus, kerana negara itu masih belum memiliki imuniti kelompok walaupun seperempat penduduknya mungkin sudah dijangkiti.

Ia pertama kali pegawai kanan Iran menunjukkan negara itu berusaha mengawal Covid-19 melalui imuniti kelompok.

Virus ini membunuh lebih 588,000 orang dan menjangkiti hampir 14 juta di seluruh dunia sejak pertama kali dikesan di China akhir tahun lalu.

Iran berusaha mengekang Covid-19, dengan angka yang menunjukkan peningkatan bagi jangkitan baharu dan kematian sejak dua bulan mencatatkan kes yang rendah pada Mei.

Pada Sabtu, kementerian kesihatan melaporkan 188 kematian akibat koronavirus dan 2,166 kes jangkitan tempoh 24 jam.

Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 13,979 daripada 271,606 kes sejak Iran melaporkan kes pertama pada pertengahan Februari.

Peningkatan jumlah itu mendorong pihak berkuasa mengenakan sekatan di wilayah yang paling terjejas selepas ia ditarik balik di seluruh negara pada April, dengan Tehran melanjutkannya selama seminggu pada Jumaat.

“Anggaran kami adalah hingga kini, 25 juta rakyat Iran dijangkiti virus ini,” kata Rouhani dalam pertemuan bersama petugas memerangi virus negara itu.

“Kita harus mempertimbangkan kemungkinan 30 hingga 35 juta lagi mungkin berdepan jangkitan,” tambahnya, memetik hasil kajian kementerian kesihatan.

“Kita belum mencapai imuniti kelompok dan kita tidak punya pilihan selain bersatu dan memutuskan rantai penularan koronavirus.”

Ketua komunikasi Rouhani, Alireza Moezi menulis di Twitter beberapa jam kemudian yang 25 juta itu sebenarnya merujuk kepada “mereka yang dijangkiti virus dan mempunyai kekebalan sepenuhnya”.

Rouhani juga berkata Iran mungkin perlu bersedia bagi jumlah pesakit dua kali ganda berbanding lima bulan terakhir, menurut kajian itu.

Kajian menunjukkan “daripada setiap 1,000 yang dijangkiti, 500 tidak menunjukkan gejala” tambah Rouhani, memberi amaran yang ia menjadi cabaran utama kerana “menyebarkan lebih banyak virus dan dalam jangka masa lebih lama” berbanding yang dikenal pasti.

Kementerian kesihatan tidak melaporkan jumlah keseluruhan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19.

Republik Islam itu bergelut mengekang wabak Covid-19 yang terburuk di Timur Tengah sejak mengumumkan kes pertama pada pertengahan Februari.

Iran masih bertahan untuk tidak melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya tetapi menutup sekolah, mengharamkam perhimpunan awam dan menyekat perjalanan antara wilayah pada Mac, sebelum menarik balik larangan itu bulan depan bagi membuka semula ekonominya yang terjejas akibat tindakan itu. – AFP, 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen