Buktikan dulu boleh menang di Sabah, kata Bung Moktar kepada Bersatu


Diyana Ibrahim

Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar berkata pada masa ini hakikatnya Umno Sabah adalah parti yang paling berpengaruh dan mempunyai jentera serta akar umbi yang kuat di negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Julai, 2020.

UMNO Sabah tiada masalah untuk menyerahkan kerusi tradisinya ditandingi oleh Bersatu jika parti itu dapat membuktikan ia boleh menjamin kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Bung Moktar Radin.

Bagaimanapun, pengerusi Umno Sabah itu berkata pada masa ini hakikatnya Umno Sabah adalah parti yang paling berpengaruh dan mempunyai jentera serta akar umbi yang kuat di negeri itu.

“Kita akan berbincang dulu cuma mesti meletakkan prinsip asas. Kalau parti itu hendak kerusi, biarlah berfakta… apa asas parti itu hendak bertanding.

“Sekurang- kurangnya parti itu boleh dapat 30 % atau 40 % baru kita (Umno Sabah) boleh putuskan bagaimana parti lain (boleh) bertanding,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Beliau diminta menjelaskan pendirian Umno Sabah mahu bertanding di semua kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Di sinilah kita melihat sama ada Umno Sabah masih laku dan relevan bagi rakyat Sabah,” tulisnya di Twitter baru-baru ini.

Bung membuat kenyataan itu selepas Ahli Parlimen Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dilapor berkata Umno sudah tidak lagi laku di Sabah.

Abdul Latiff adalah antara kelompok wakil rakyat Umno yang keluar parti dan diterima menyertai Bersatu pada tahun lalu.

Beliau melontarkan pandangannya dalam sebuah forum tetapi memohon maaf beberapa hari kemudian selepas dikecam hebat oleh pemimpin Umno dari pelbagai peringkat.

Ketika kemuncak kontroversi itu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata parti memberi autonomi kepada Umno Sabah membuat keputusan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ditanya mengenai akar umbi Bersatu di Sabah yang terkilan dan kecewa dengan pendirian yang beliau umumkan, Bung Moktar berkata keputusan Umno Sabah bukan emosi melulu.

Jelas beliau, ia adalah langkah rasional memandangkan Umno jauh lebih berpengaruh berbanding Bersatu, walaupun Barisan Nasional kalah dalam PRU14.

“Kalau nak ikutkan terkilan, Umno Sabah lagi terkilan tetapi kita (lihat) ke depan… dalam politik memang begitulah.

“Kita nak kemenangan, tidak ada kena mengena dengan isu isu lain, itu cuma kebetulan,” katanya.

Jelas Bung Moktar, keyakinan rakyat terhadap Umno Sabah juga sudah semakin pulih kini setelah mereka melihat kelemahan dan prestasi teruk Parti Warisan Sabah pimpinan Ketua Menteri Mohd Shafee Apdal mentadbir negeri.

Kerjasama Perikatan Nasional

Dalam pada itu, Bung Moktar menjelaskan Umno Sabah tidak melihat Bersatu di negeri itu lemah dan kerana itu pihaknya mahu menentukan segala-galanya.

Katanya, Umno Sabah tidak menolak bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersama PN asalkan boleh menjamin kemenangan gabungan itu dalam PRU15.

“Mereka (Bersatu Sabah) kena faham, kalau merayakan semangat  PN saja tapi kalah (pilihan raya), itu bukan satu jalan terbaik untuk bantu memperkukuhkan dan wujudkan kerajaan .

“Kita kalau bertanding hendak menang, tapi kalau cuma nak penuhkan kuota tak ada kemenangan, buat apa bertanding… tak payah bertanding sudah tetap kalah,” katanya.

Jelas Bung Moktar, Umno Sabah adakan mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai persiapan PRU15 dengan semua parti yang tidak menyokong Warisan dalam masa terdekat.

“Perbincangan akan dibuat secepat mungkin, saya rasa dalam sebulan ini kita akan dapat muktamad keputusan,” katanya.

Pada PRU14, Umno bertanding di 14 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah. Ia bagaimanapun hanya menang tujuh kerusi dalam pilihan raya umum yang menyaksikan peralihan pentadbiran negeri sejak 1994.

Umno menang di Kudat, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Beluran, Kinabatangan, dan Libaran tetapi kalah di Kota Belud, Sepanggar, Papar, Tenom, Silam, Semporna, dan Kalabakan.

Bagaimanapun selepas PRU14, lima ahli Parlimen keluar Umno untuk menyertai Bersatu.

Mereka ialah Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang). – 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen