AHLI Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin menjelaskan beliau bukan mahu menghina atau memalukan Dr Mahathir Mohamad semasa perbahasan usul penukaran Speaker Dewan Rakyat di Dewan Rakyat, awal minggu ini.
Apa yang berlaku semasa perbahasan itu, apabila beliau lantang menempelak bekas perdana menteri, sememangnya gaya dan wataknya semasa berbahas di Dewan Rakyat, katanya
“Saya tidak ada niat untuk malukan sesiapa ataupun merendahkan Tun Mahathir. Saya sentiasa menghormati Tun… apa pun dia seorang negarawan.
“Jadi, jangan orang anggap yang hujah saya sebagai satu penghinaan tapi itulah penampilan saya dari awal sampai hari ini, itulah keadaan saya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight.
Ahli parlimen lima penggal sejak 1999 itu mengulas insiden tikam lidah antara beliau dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dengan Dr Mahathir pada Isnin lalu.
Insiden bermula apabila Shahidan membangkitkan semula isu peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada Februari lalu semasa membahaskan usul penukaran Speaker Dewan Rakyat, yang dibawa oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, penukaran Speaker ini timbul kerana Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan menyebabkan kerajaan bertukar, diambil alih oleh Perikatan Nasional.
Bung Moktar yang bangun mencelah menyokong kenyataan Shahidan.
“Semua punca dari(pada) Langkawi. Agong sudah nasihat tapi dia nak berhenti juga. Kami terpaksalah cari PM lain.
“Dulu Tun lantik Latheefa Koya (mengetuai agensi anti rasuah) dan Tommy Thomas (sebagai peguam negara), kita tidak pertikaikan pun, sama saja dengan kita pilih Speaker (Dewan Rakyat),” katanya.
Dr Mahathir pula kemudiannya cuba mempertahankan dirinya dan berkata beliau letak jawatan kerana tidak boleh bekerjasama dengan Umno.
“Apabila saya diberi pilihan untuk bekerjasama dengan Umno dan Umno bukanlah yang ditubuh dulu, tapi ‘dihijack’ orang tertentu, saya tidak boleh bekerjasama,” katanya.
Bung Moktar kemudian mencelah dengan berkata: “Umno satu saja. Dulu Tun yang ajar kami, kami ikut ajaran Tun.”
Dr Mahathir kemudian tidak meneruskan penjelasannya.
Insiden pertikaman lidah itu mengundang kritikan orang ramai yang menganggap ahli Parlimen Umno tidak hormat kepada bekas perdana menteri yang banyak berjasa membangunkan Malaysia.
Mengulas kritikan itu, Bung Moktar berkata beliau sedar pandangan orang yang melihat perbahasan tersebut namun menegaskan memang begitulah beliau berbahas di Dewan Rakyat, tidak pernah berlemah lembut.
“Saya terbaca juga di media sosial… saya tidak hormat pemimpin lain. Tapi untuk diri saya, kamu pun tahu cara saya berbahas.
“Memang saya tak berubah. Kalau tiba-tiba saya berubah jadi lemah lembut, itu bukanlah Kinabatangan,” katanya.
Bung Moktar sebelum ini pernah beberapa kali mencetuskan kontroversi di Dewan Rakyat termasuk mencarut dan mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina.
Beliau didakwa apabila mengeluarkan kata-kata yang dianggap gangguan seksual semasa meminta penjelasan daripada dua ahli Parlimen wanita pada April 2001 dan kemudian sekali lagi pada 2007.
Pada awal Ogos 2018, Bung Moktar mencarut selepas Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin menuduhnya masuk kasino. Beliau menafikannnya dan menyifatkan tuduhan itu kurang ajar. – 19 Julai, 2020.
Komen