KLUSTER baharu Covid-19, Stutong, dikenal pasti di Sarawak dengan dua orang diuji positif koronavirus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Kedua-dua kes positif itu adalah antara sembilan jangkitan baharu yang dilaporkan tengah hari ini.
Sembilan kes tersebut menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan di Malaysia sebanyak 8,764, di mana 96 daripadanya adalah kes aktif. Hanya seorang pesakit yang diletakkan dalam unit rawatan rapi (ICU).
Tidak ada kematian baharu dilaporkan, menjadikan angka keseluruhan korban Covid-19 masih 122 orang.
Dr Noor Hisham berkata, kluster Stutong melibatkan sebuah pasar di mana 218 penjaja, yang terdiri daripada 213 rakyat Malaysia dan 5 orang warga asing, telah diperiksa.
“Daripada pemeriksaan, 56 orang diuji di mana dua orang diuji positif sementara 54 lagi diuji negatif.
“Kluster itu ditemui berikutan pendekatan kementerian yang disasarkan untuk membuat saringan pasar dan pekerjanya,” katanya dalam satu kenyataan. – 18 Julai, 2020.
Komen