SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menghentikan sesi soal siasat yang lama kerana ia merupakan satu bentuk penderaan psikologi, kata kumpulan pendesak Teoh Beng Hock Trust for Democracy.
Pengerusinya Ng Geok Chee berkata soal siasat yang lama melanggar hak asasi manusia untuk berehat seperti yang dinyatakan dalam Artikel 24 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.
“Kita menekankan bahawa siasatan yang berpanjangan merupakan satu bentuk penderaan psikologi kerana ia mewujudkan tahap tekanan yang tinggi dan menjejaskan kesihatan mental serta membenarkan penyalahgunaan kuasa ketika dalam tahanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ng mengulas tentang sesi soal siasat SPRM terhadap bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selama 11 jam di ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya semalam.
INi merupakan hari kedua berturut-turut yang dihadapi Syed Saddiq dalam sesi soal siasat bersama SPRM.
Kumpulan itu turut mengecam SPRM kerana melakukan sesi soal siasat yang lama terhadap anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz.
Ng berkata satu lagi kejadian berlaku pada Jun apabila pegawai Syed Saddiq, Nurul Hidayah menuduh SPRM melakukan penderaan dan bersikap diskriminasi terhadapnya semasa disiasat.
“Dia (Nurul) diarahkan untuk berdiri satu kaki selama setengah jam. Pegawai SPRM melemparkan telefon ke arahnya dan mengugut untuk menamparnya. Mereka menggelarnya ‘babi’ dan ‘bodoh’.
“Masalahnya terletak pada kuasa yang ada di tangan SPRM, yang diberikan oleh Artikel 30 (3) (a) Akta SPRM untuk menyoal siasat seseorang, secara teoritis, jangka waktu yang tidak terbatas.”
Kumpulan itu ditubuhkan selepas kematian Teoh ketika dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.
Ng berkata mereka berulang kali mengkritik pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan SPRM sejak kematian pegawai politik itu.
“Siasatan terhadap Teoh berlangsung selama 11 jam dari 6 petang pada 15 Julai hingga 5 pagi pada 16 Julai. Ini membolehkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan menjadi punca kematiannya.” – 18 Julai, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen