Pulau Pinang lancar inisiatif pasar awam tanpa tunai


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu dijalankan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dengan melantik 282 jurulatih digital yang berperanan memberi tunjuk ajar kepada peniaga dan pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

PULAU Pinang hari ini melancarkan Inisiatif Tanpa Tunai di Pasar Awam Seluruh negeri itu sebagai langkah mengurangkan kontak atau sentuhan antara pembeli dan peniaga di pasar awam.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata langkah itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dengan melantik 282 jurulatih digital yang berperanan sebagai pihak untuk memberi tunjuk ajar kepada peniaga dan pengguna dalam menggunakan platform e-pembayaran.

“Bagi memastikan inisiatif ini mencapai sasaran, kerajaan negeri akan melantik seramai 250 jurulatih digital bagi promoter dan 32 jurulatih digital bagi komuniti (dalam masa terdekat) yang akan ditugaskan di pasar awam untuk memberi tunjuk ajar kepada peniaga dan pembeli supaya lebih memahami kaedah e-pembayaran dengan lebih mendalam selain ingin mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita  selepas melancarkan inisiatif itu di Pasar Awam Bayan Baru.

Beliau berkata atas dasar keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, jurulatih digital bagi promoter yang dilantik akan dibayar secara bulanan sebanyak RM500 dan RM1,000 bagi jurulatih digital komuniti masing-masing bagi tempoh enam bulan dan setahun.

“Kerajaan negeri turut menyasarkan menjelang Disember ini, 90 peratus daripada jumlah keseluruhan 56 pasar awam menerima e-pembayaran manakala 70 peratus daripada 5,000 peniaga menerima e-pembayaran. 

“Selain itu, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 transaksi jual beli menggunakan kaedah pembayaran digital,” katanya.

Mengulas lanjut, Chow berkata bagi menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai, kerajaan negeri telah menjemput 17 institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank yang menawarkan pelbagai insentif kepada peniaga. – Bernama, 18 Julai, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen