KEMENTERIAN Kesihatan sedang giat melaksanakan kempen ‘Elak Sembang Dekat’, dalam usaha mengekang gelombang kedua wabak Covid-19, di negara ini.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, kempen itu perlu bagi mendidik orang ramai supaya mengelakkan bersembang dengan jarak dekat, kerana titisan daripada individu lain boleh terkena tubuh orang lain sehingga jarak sejauh satu meter.
“Sekiranya terlalu dekat, titisan tidak dapat disekat dan akan sampai ke tubuh orang lain dengan lebih mudah dan pantas, (dan membimbangkan) lebih-lebih lagi mereka yang bergejala.
“Kini, sembang dekat menyebabkan banyak berlaku gelombang kedua penularan Covid-19 di dunia,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar hari ini.
Selain itu beliau berkata, keengganan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 membuat ujian dan mereka yang pulang dari luar negara tanpa mengetahui telah dijangkiti, merupakan antara faktor lain yang menyebabkan gelombang kedua wabak itu di negara ini, namun beliau tidak menghuraikan secara lanjut
Sementara itu Dr Adham berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka mengumumkan harga baharu pelitup muka yang lebih munasabah, dalam masa terdekat.
Katanya harga baharu bagi pelitup muka itu kemungkinan akan berkuatkuasa bermula 10 Ogos ini, namun harga siling bagi pelitup muka setakat ini masih dijual RM1.50 sekeping.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat usaha mengurangkan beban kos ibu bapa dalam menyediakan pelitup muka untuk anak-anak mereka ke sekolah setiap hari. – Bernama, 18 Julai, 2020.
Komen