Polis tahan 9 warga asing cuba ceroboh masuk sempadan, kata Ismail Sabri


Polis telah mengadakan 67 sekatan jalan di seluruh negara dan memeriksa 43,033 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing, kata Menteri Kanan Ismail Sabri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

POLIS menahan sembilan warga asing yang cuba memasuki negara ini secara haram, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan kerana melanggar undang-undang imigresen.

“Kerajaan akan mengambil langkah tegas terhadap mana-mana individu yang cuba memasuki negara ini secara haram.

“Penguatkuasaan agensi juga akan berterusan untuk mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di kawasan terpencil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata polis akan bekerjassama dengan tentera, agensi penguatkuasa maritim dan imigresen untuk memastikan sempadan negara tidak diceroboh.

Beliau berkata polis telah mengadakan 67 sekatan jalan di seluruh negara dan memeriksa 43,033 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing.

Dalam operasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail berkata polis telah menahan 14 individu kerana melanggar garis panduan yang ditetapkan.

“Daripada jumlah itu, tiga individu direman dan 11 lagi dibebaskan dengan ikat jamin.

“Antara pelanggaran yang mereka lakukan termasuk melakukan aktiviti secara berkumpul, sekali gus melanggar peraturan penjarakkan sosial dan gagal mematuhi prosedur operasi standard,” katanya. – 18 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen