PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mahu rakyat Malaysia berbelanja untuk menyelamatkan ekonomi negara, selepas penularan pandemik Covid-19 memaksa hampir semua negara di dunia menutup sektor ekonomi.
Hanya dengan berbelanjalah ekonomi negara dapat dihidupkan semula, katanya, selepas kerajaan melonggarkan pelbagai sekatan yang dikenakan sebelum ini untuk membendung wabak.
“Saya ingin menyarankan kita semua sebagai pengguna agar berbelanjalah untuk Malaysia kerana setiap perbelanjaan kita kelak akan dapat membantu memastikan ekonomi negara kita kekal berdaya saing.
“Kita pastikan setiap perbelanjaan adalah lebih nilai untuk wang ke atas produk termasuk produk tempatan yang berkualiti,” katanya berucap melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Muhyiddin, berbelanja akan memberi kesan ganda dalam ekonomi.
“Dengan berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi akan dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menambahkan hasil pendapatan rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya Muhyiddin menyebut peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta untuk menjayakan kempen beli barangan Malaysia.

Perdana menteri juga menjelaskan berbelanja dalam konteks ini bukan hanya membeli barangan iaitu sektor pembuatan tetapi merangkumi perkhidmatan pelancongan, rawatan kesihatan dan logistik.
“Meskipun sempadan negara masih lagi tidak dibenarkan dibuka, kita yakin sepenuhnya pelancongan domestik akan menyumbangkan kepada fasa pemulihan ekonomi negara ini,” katanya.
Muhyiddin menyebut pelancongan domestik pada tahun menyumbang perbelanjaan berjumlah RM103.2 bilion, meningkat 11.5% berbanding 2018.
Mengenai program jualan mega, Muhyiddin berharap ia akan jadi titik mula kerjasama antara kerajaan dan rakyat untuk memulihkan ekonomi Malaysia pasca perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ekonomi Malaysia merudum susulan penularan Covid-19 apabila kerajaan menguatkuasakan PKP bagi membendung jangkitan pada pertengahan Mac.
Sekatan itu antara lain menyebabkan kadar pengangguran meningkat dari bulan ke bulan daripada 5% pada April kepada 5.3% pada Mei, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan. – 18 Julai, 2020.
Komen