AKAR umbi Bersatu negeri kecewa dan marah dengan pendirian dinyatakan pemimpin Umno Sabah Bung Moktar Radin yang mahu partinya bertanding di semua kerusi Parlimen negeri itu.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, kenyataan Bung itu lebih kepada pandangan peribadi dan bukannya keputusan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu diluahkan Naib Ketua Bahagian Bersatu Sipitang Mazlan Manan berkata beliau terpaksa tampil meredakan kekecewaan akar umbi.
“Memang banyak ahli akar umbi kita yang kecewa, marah.
“Tapi itu tugas kitalah untuk menjelaskan kepada mereka yang sebenarnya bukan keputusan pemimpin tertinggi cuma dari pemimpin saja,“ katanya kepada The Malaysian Insight.
Mazlan percaya barisan pemimpin PN tidak akan sesekali mengkhianati Bersatu di Sabah untuk akur dengan cadangan Bung itu.
Senada dengan Mazlan, Ketua Bahagian Bersatu Kinabatangan Aksyah Nasrah juga percaya keputusan itu tidak dibuat oleh PN.
“Itu pandangan beliau bukan dari pusat walaupun Umno Sabah ada kuasa autonomi tapi saya percaya mereka kena rujuk Umno pusat juga.
“Kalau untuk Bersatu kita anggap itu bukan sebagai keputusan parti kerana dia pun bukan pengerusi BN. Itu pandangan beliau,” katanya.
Aksyah juga percaya hasrat Bung itu akan merosakkan hubungan antara parti selain ia tidak relevan dengan situasi politik semasa di Sabah.
Beliau berkata situasi politik di Sabah sudah banyak berubah sejak PRU14 kerana rakyat semakin celik dan mahu pemimpin yang berkhidmat tidak lagi memilih parti dominan sahaja.

Malah PN di Sabah juga tidak sama kerana melibatkan banyak komponen parti tempatan berbanding di pusat yang hanya melibatkan BN, Bersatu dan PAS, tambahnya.
Katanya, Bersatu mempunyai ikon politik yang dipilih oleh rakyat dan mendapat sokongan disebabkan kredibiliti pemimpin terlibat.
“Contoh macam kawasan Parlimen Beluran, Beufort, itu ikon politik rakyat suka kepada mereka kerana mereka pemimpin bagus.
“Kalau Umno nak bertanding (di Beluran) sebab kata kubu kuat mereka jadi itu perkiraan salah,” katanya.
Jumaat lepas Bung yang juga pengerusi Umno Sabah mengumumkan hasrat parti itu akan bertanding di semua kerusi Parlimen yang ditandingi semasa pilihan raya lepas.
Bung dalam kenyataan di Twitter berkata Umno Sabah juga akan bertanding di beberapa lagi kerusi yang difikirkan perlu.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata keputusan itu dibuat untuk melihat sama ada Umno Sabah masih laku dan relevan bagi rakyat Sabah.
Kenyataan Bung itu susulan kontroversi yang timbul apabila seorang pemimpin Bersatu Dr Abdul Latiff Ahmad menyatakan Umno tidak lagi laku di Sabah.
Menteri pembangunan luar bandar itu membuat dakwaan itu di sebuah forum terbuka pada Rabu lepas namun memohon maaf beberapa hari kemudian susulan dikecam hebat pemimpin Umno.
Lanjutan dari isu itu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menyerahkan keputusan kepada Umno Sabah sama ada mahu berkerjasama dengan Bersatu atau tidak.
Pada masa sama Aksyah berkata kenyataan Bung itu menunjukkan sikap Umno Sabah yang masih mahu menujukkan pengaruh “Abang Long” sebagai parti dominan di negeri itu.
“Dalam konteks politik ia beri impak tak baik. Ahli Bersatu bukan tak nak bising tapi malas nak layan, kita rasa mereka masih ingat mereka pemerintah dominan.
“Kita bukan hendak yang macam dulu, ada war lord, tapi sekarang rakyat hendak pemimpin yang berkualiti,” katanya.
Umno tidak lagi dominan di Sabah selepas parti itu tewas di tujuh kerusi daripada kesemua 14 yang ditandingi – Kota Belud, Sepanggar, Papar, Tenom, Silam, Semporna dan Kalabakan.
Kekalahan itu mememberi tamparan hebat buat Umno di negeri itu selepas menguasai negeri berkenaan selama 24 tahun.
Susulan kekalahan itu, lima ahli Parlimen parti mengubah haluan menyertai Bersatu termasuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Ronald Kiandee (Beluran).
Dua lagi ialah Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).
Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Sabah Masidi Manjun menegaskan perbincangan pembahagian kerusi PN di Sabah bagi PRU15 masih lagi belum dijalankan.
“Masih belum dibincangkan lagi, terlalu awal rasanya untuk dibincangkan,” katanya apabila ditanya mengenai persediaan pembahagian kerusi parti itu bagi pilihan raya akan datang.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu laporan Nikkei Asian Review pada Jun lalu tidak menolak kemungkinan pilihan raya mengejut boleh dijalankan pada suku pertama 2021. – 18 Julai, 2020.
Komen