Kes Covid-19 di Brazil mendatar, kata WHO


WHO menggesa Brazil meningkatkan lagi langkah mengekang wabak Covid-19 walaupun kadar pembiakan virus (R0)kini menurun kepada antara 0.5 dan 1.5. – Gambar AFP, 18 Julai, 2020.

PENULARAN wabak Covid-19 di Brazil telah mendatar, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.

“Kes tidak lagi mendadak di Brazil, sudah mendatar,” kata Ketua Program Kesihatan Kecemasan WHO Michael Ryan pada sidang media secara maya.

Brazil negara kedua selepas Amerika Syarikat (AS) terjejas teruk akibat wabak Covid-19, dengan lebih 2 juta kes positif dan hampir 77,000 kematian.

Angka rasmi yang dikeluarkan kementerian kesihatan pada Khamis menunjukkan lebih 45,000 kes baharu dan 1,300 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam.

Ryan bagaimanapun berkata kadar jangkitan di Brazil kini agak ‘stabil’.

Katanya, kadar pembiakan virus atau kadar R-naught (R0) di Brazil agak tinggi pada April dan Mei, berada pada 1.5 dan 2.0 di kebanyakan tempat.

Ini bermakna setiap orang yang positif Covid-19 menjangkiti sekurang-kurangnya dua individu lain.

Tetapi kadar itu kini turun kepada antara 0.5 dan 1.5, kata Ryan.

Beliau menegaskan ia bukanlan jaminan jangkitan akan hilang dengan sendiri. Ryan menggesa Brazil meningkatkan lagi langkah-langkah mengekang wabak Covid-19.

Sejak wabak Covid-19 mula menular di Brazil, Presiden Jair Bolsonaro mengkritik langkah-langkah membendung yang diambil oleh beberapa negeri, menyifatkan wabak tersebut hanya selesema biasa.

Presiden itu bagaimanapun telah disahkan positif dan kini menjalani kuarantin di rumah. – AFP, 18 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen