DEWAN Undangan Negeri Sarawak perlu dimaklumkan mengenai rundingan negeri dengan Putrajaya dan syarikat minyak nasional Petronas mengenai sumber minyak dan gasnya, kata Adun Batu Lintang See Chee How.
Kerajaan negeri juga harus bersikap telus dengan Jawatankuasa Rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibentuk untuk menasihati negeri berhubung pendirian yang harus diambil dalam beberapa isu dengan Putrajaya mengenai sumber Sarawak.
“Mengapakah ahli pasukan rundingan yang dilantik oleh Jawatankuasa Rundingan dihalang daripada rundingan setakat ini?
“Saya mendesak Ketua Menteri Abang Johari Openg segera memanggil dan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk membicarakan hal ini dan mencari petunjuk mengenai tindakan masa depan negeri dengan kerajaan pusat dan Petronas,” kata See, yang merupakan Adun pembangkang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Beliau meletak jawatannya dalam jawatankuasa bipartisan pada Selasa sebagai protes terhadap sikap tidak telus mengenai Cukai Jualan Sarawak (SST) yang tidak dibayar oleh Petronas.
See merujuk kenyataan media Awang Tengah minggu lalu berhubung penyelesaian dan perjanjian antara Petronas dan Sarawak mengenai pembayaran SST akan diberitahu selepas 3 Ogos.
Awang Tengah juga berkata jawatankuasa bersama yang terdiri daripada anggota kerajaan Sarawak, kerajaan pusat dan Petronas, sedang berunding perincian terma dan syarat.
See berkata sikap tidak telus kerajaan negeri menimbulkan kekeliruan.
Petronas dan kerajaan Sarawak ketika ini sedang berunding untuk penyelesaian di luar mahkamah mengenai jumlah cukai penjualan 5% negeri yang dibelum dibayar syarikat minyak nasional bagi petroleum yang diambil di negeri ini, yang dikatakan berjumlah RM2 bilion.
Ini susulan tindakan Petronas menarik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak yang menolak permintaannya untuk semakan kehakiman bahawa cukai yang dikenakan oleh Sarawak terbatal dan tidak sah.
Sarawak akan menggugurkan semua tuntutannya dalam kes sivil terhadap Petronas bagi pembayaran cukai tersebut.
See berkata Jawatankuasa Rundingan MA63 memutuskan undang-undang persekutuan yang digunakan Petronas terhadap sumber minyak Sarawak bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan, dan tidak diperlukan rundingan lebih lanjut mengenai undang-undang tersebut.
Undang-undang persekutuan itu adalah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Wilayah Laut 2012. – 17 Julai, 2020.
Komen