Umno, PAS boleh menang 13 kerusi DUN Pulau Pinang


Zaim Ibrahim

Data daripada PRU14 menunjukkan Umno, PAS boleh menambah kerusi di DUN Pulau Pinang dengan gabungan Muafakat Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

DUA parti terbesar Melayu Umno dan Pas mampu menguasai 13 kerusi majoriti Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, berdasarkan data pilihan raya umum yang lalu, termasuk di lima kerusi yang sekarang diwakili oleh Pakatan Harapan (PH).

Data pilihan raya umum yang lalu menunjukkan gabungan undi dua parti yang bekerjasama atas nama Muafakat Nasional itu mengatasi jumlah undi yang diperolehi oleh calon PH yang menang di lima kerusi negeri.

Semua 13 kerusi DUN ini terletak dalam kawasan Parlimen Kepala Batas (BN), Tasek Gelugor (Bersatu), Permatang Pauh (PKR), dan Nibong Tebal (PKR).

Pada masa ini, Perikatan Nasional (PN) mempunyai tujuh kerusi yang diwakili oleh Umno, PAS, dan Bersatu, yang kesemuanya kawasan majoriti Melayu. 

DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi, dengan baki 33 kerusi dipegang oleh DAP (19), PKR (12), dan Amanah (2) yang bergabung dalam PH.

Tiga daripada tujuh kerusi PN dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu oleh PAS di Penaga dan Umno di Sungai Dua dan Permatang Berangan. 

Empat kerusi tambahan datang daripada wakil rakyat yang bertukar parti selepas pertukaran pentadbiran kerajaan pusat pada akhir Februari lalu.

Empat DUN itu ialah Bertam (Khaliq Mehtab Mohd Ishaq-Bersatu), Telok Bahang (Zolkifly Md Lazim-Bersatu), Seberang Jaya (Afif Bahardin-Bersatu), dan Sungai Acheh (Zulkifli Ibrahim-Bebas).

Afif dan Zulkifli adalah bekas ahli PKR yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu, sebelum mereka dipecat dan bertindak menyokong PN.

Umno, PAS kumpul undi tinggi

Tujuh kerusi DUN kawasan majoriti Melayu yang dimenangi oleh PH di Pulau Pinang ialah Pinang Tunggal, Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir, Penanti, Sungai Bakap, Pulau Betong, dan Bayan Lepas.

Analisis keputusan PRU14 menunjukkan gabungan undi Umno dan PAS di enam daripada tujuh kerusi ini mengatasi undi yang diperolehi oleh calon PH.

Hanya di Bayan Lepas satu-satunya kerusi majoriti Melayu yang undi PH masih tinggi walaupun selepas dicampur undi Umno dan PAS.

Di enam kerusi lain, lima wakil rakyat PKR dan seorang wakil rakyat Amanah ketinggalan sekiranya undi Umno dan PAS dalam PRU14 digabungkan.

Di Pinang Tunggal misalnya, timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menang hanya dengan 127 undi mengatasi calon Umno Roslan Saidin dan calon PAS Bukhori Ghazali. 

Undi kedua-dua calon itu bagaimanapun mengatasi undi Ahmad Zakiyuddin sebanyak 4,495 undi.

Exco Norlela Ariffin dari PKR yang menang di Penanti juga jumlah undinya kurang 1,847 berbanding jumlah undi calon Umno dan PAS.

Jumlah undi untuk calon PKR Mustafa Kamal Ahmad di Telok Ayer Tawar juga kurang 1,785 berbanding jumlah lawannya dari Umno, PAS, dan PRM, sama seperti Amar Pritpal Abdullah dari PKR yang kurang 2,023 undi di Sungai Bakap.

Ahli jawatankuasa pusat Amanah Muhammad Faiz Fadzil juga ketinggalan 1,998 undi di Permatang Pasir berbanding jumlah undi calon PAS dan Umno.

Dr Afif Bahardin adalah bekas ahli PKR yang bertanding atas tiket PH pada pilihan raya lalu, sebelum dipecat dan bertindak menyokong PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

Di mana Bersatu nanti?

Kekuatan gabungan undi Umno dan PAS, ditambah dengan kedudukan majoriti daripada 12 kerusi itu adalah juga kerusi tradisi Umno, mencetuskan tanda tanya apakah PN akan akan memberi ruang kepada Bersatu bertanding di kerusi berkenaan.

Pemimpin tertinggi Umno sebelum ini telah menyuarakan pendirian untuk terus mempertahankan kerusi tradisinya termasuk yang dimenanginya pada PRU14.

Antara kerusi tradisi Umno ialah Bertam, Sungai Acheh, Seberang Jaya, dan Telok Bahang, yang dikuasai parti tunjang Barisan Nasional itu dalam beberapa siri pilihan raya umum sepanjang 30 tahun lalu.

Kerusi Seberang Jaya misalnya dimenangi oleh Umno sejak kawasan pilihan raya itu dibentuk untuk pilihan raya umum 1986, sehingga ia dirampas oleh PKR pada 2013.

Afif menang sekali lagi kerusi itu atas tiket PKR pada 2018, sebelum dipecat dari parti pada Jun dan menyuarakan hasrat menyertai Bersatu.

Penganalisis politik Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata berdasarkan sentimen Melayu-Islam, Umno dan PAS mampu menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, terutama di kawasan pedalaman.

“Mungkin Umno akan membiarkan Dr Afif bertanding di bawah tiket Bersatu kerana beliau dilihat masih mempunyai pengaruh besar di DUN Seberang Jaya.

“Tetapi untuk kerusi-kerusi lain saya rasa Umno dan PAS akan meletakkan calon mereka sendiri kerana mereka mempunyai peluang cerah untuk menang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pensyarah yang membuat penelitian tentang gerakan politik Islam itu berpendapat hanya calon Umno dan PAS berpeluang cerah untuk menang selesa di Bertam, Sungai Acheh, dan Telok Bahang – tiga kerusi wakil rakyat yang keluar parti untuk menyokong PN.

“Besar kemungkinan penyandang semua akan kalah pada PRU15 nanti melainkan kalau mereka bertanding di bawah tiket Umno dan PAS,” tambahnya.

Empat Adun yang keluar parti untuk menyokong PN di Pulau Pinang sukar mempertahankan kerusi mereka melainkan jika mereka bertanding atas tiket parti yang kukuh di akar umbi seperti Umno dan PAS, kata penganalisis politik Nidhal Mujahid dari Institut Penang.

Katanya, pengundi di Malaysia jarang melihat prestasi calon sebagai individu sebaliknya masih dipengaruhi oleh parti yang diwakili oleh calon.

“Kebanyakan pengundi memilih parti berbanding prestasi individu. Ini pendapat popular dalam diskusi politik tanah air.

“Bagi saya, empat Adun yang kini sokong PN sukar kekalkan kerusi mereka melainkan mewakili parti politik yang kukuh dan akar umbi yang kuat,” katanya.

Nidhal memberikan kerusi Seberang Jaya yang diwakili oleh Afif, bekas exco pertanian, pembangunan luar bandar, dan kesihatan.

Seberang Jaya PKR punya

Namun bagi PKR, siapa pun yang bertanding di Seberang Jaya nanti bukan masalah kerana kerusi itu sudah milik mereka sejak dua pilihan raya lalu.

PKR menang kerusi itu kerana kekuatan dan pengaruh parti, dan bukannya faktor Afif semata-mata, kata Ketua Pemuda PKR Permatang Pauh Fahmi Zainol.

“Pada PRU13 Afif menang kerana kekuatan Anwar Ibrahim yang mengetuai Pakatan Rakyat dan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Dia menang sekali lagi pada PRU14 kerana momentum rakyat yang menolak kerajaan BN,” katanya.

Namun bagi penyokong Afif, Haidhar Auni Dzolkapli, Afif menang dua kali di Seberang Jaya kerana keperibadiannya, dan mereka bersedia untuk sekali lagi mempertahankannya dalam PRU15.

“Ini bukan lagi kerusi Umno,” katanya.

Afif pertama kali menang Seberang Jaya dengan majoriti 2,459 undi pada PRU13. Lima tahun kemudian, beliau mempertahankan kerusi itu dengan menambah majoriti kepada 7,421 undi.

“Afif adalah pilihan rakyat dan pengundi Seberang Jaya. Ada faktor calon, ada juga faktor penyumbang dari parti.

“Kalau letak calon yang tak sesuai, PKR boleh kalah juga,” tambahnya. – 18 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen