SEMUA sekolah patut ada sekurang-kurangnya satu kelas program dwibahasa (DLP), kata sebuah badan pendidikan, selepas Putrajaya semalam mengumumkan tidak akan menghidupkan semula dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Langkah itu akan memberi peluang kepada pelajar yang berminat untuk belajar dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Inggeris, kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim.
“Saya rasa semua sekolah paling kurang kena ada satu kelas DLP. Kita kena bagi peluang kepada pelajar yang nak sertai.
“Penyertaan sekolah juga perlu ditingkat. Sekarang hanya 1,300 daripada lebih 10,000 sekolah terlibat. Jumlah itu memang terlalu sedikit,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengemukakan cadangan itu ketika diminta mengulas jawapan bertulis Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen William Leong Jee Keen di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Selayang daripada PKR itu meminta beliau menyatakan alasan kerajaan untuk memperkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahannya sebelum ini.
Menurut Radzi, kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula PPSMI.
Menurut Noor Azimah, pihaknya tidak terkejut Putrajaya tidak mahu melaksanakan semula PPSMI, selepas pentadbiran kerajaan bertukar sejak Mac.
“Tidak mengejutkan… sebab perdana menteri sebelum ini Dr Mahathir Mohamad cuba naikkan balik (PPSMI),” katanya.
Dr Mahathir adalah antara pendukung utama yang mahu melaksanakan semula PPSMI, sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas pilihan raya umum 2018.
Sebelum kerajaan PH tumbang pada hujung Februari lalu, Dr Mahathir berkata pentadbirannya sedang menunggu kertas laporan daripada Kementerian Pendidikan dan akan membuat keputusan sebelum tahun depan mengenai pelaksanaan PPSMI.
Dalam pada itu, Noor Azimah juga berkata PPSMI sukar dilaksanakan sekarang dalam ekosistem perguruan yang belum bersedia.
“Sekarang pun susah (nak laksanakan PPSMI) sebab guru-guru tidak bersedia. Kementerian Pendidikan kena tahu… alasannya cikgu belum bersedia, tapi kena ada rancangan untuk sediakan guru-guru,” katanya.
“Kalau bergantung kepada guru semata-mata, anak-anak kita akan ketinggalan untuk fasih dalam Bahasa Inggeris saintifik.”
Noor Azimah bagaimanapun melihat perjuangan Page selama 12 tahun lalu berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pendidikan Bahasa Inggeris.
“Dalam 12 tahun lalu perjuangan kita, apa yang kita dapat lakukan atau berjaya adalah makin ramai orang yang hargai kepentingan Bahasa Inggeris.
“Orang tahu Sains itu mustahak. Nak berjaya dalam bidang itu memang kena belajar Bahasa Inggeris,” katanya.
Menurut Noor Azimah, mereka yang menentang pembelajaran dalam Bahasa Inggeris juga berkurangan kerana mereka sedar kepentingannya.
“Itu satu kejayaan Page dan buat masa ini kami akan teruskan. Kalau tiada Page, program DLP ini juga tidak akan dilaksanakan,” tambahnya.
Dalam pada itu, 15 badan dan aktivis Bahasa Melayu menyifatkan keputusan kerajaan tidak menghidupkan semula PPSMI sebagai langkah tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan bagaimanapun berpendapat pelaksanaan DLP perlu dinilai semula kerana mewujudkan jurang dalam kalangan pelajar, antara mereka yang belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. – 17 Julai, 2020.
Komen