LIMA kakitangan Kementerian Kewangan direman enam hari bersama empat orang awam kerana disyaki terlibat dalam sindiket rasuah dan salah guna kuasa menyeleweng pendaftaran akaun baharu e-Perolehan.
Akaun e-Perolehan adalah sistem pendaftaran syarikat untuk membida tender kerajaan secara dalam talian.
Majistret Shah Wira Abdul Halim memerintahkan mereka ditahan sehingga 22 Julai selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sembilan suspek iaitu empat lelaki dan lima wanita sebelum itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari.
Sumber SPRM semalam memberitahu semua suspek ditahan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam satu operasi pada petang semalam.
Sumber SPRM memberitahu sindiket itu beroperasi sejak 2017 dan sudah mengutip ratusan ribu wang rasuah daripada pelbagai syarikat di sekitar Lembah Klang.
Dengan suapan antara RM500 hingga RM3,500 bagi setiap satu pendaftaran, mereka akan mempercepatkan proses pendaftaran baharu akaun Kementerian Kewangan dan mendapatkan status syarikat Bumiputera, kata sumber.
“Permohonan pendaftaran akaun baru MOF dan status bumiputera akan diluluskan dalam tempoh 24 jam dan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata sumber.
Sumber memaklumkan sindiket rasuah ini dibongkar hasil risikan sejak enam bulan lalu.
SPRM menyiasat kes ini mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata timbalan ketua pesuruhjaya operasinya, Ahmad Khusairi Yahaya. – 17 Julai, 2020.
Komen