Himpunan anti-kematian dalam tahanan diteruskan


Ravin Palanisamy

Himpunan "Black Thursday" EDICT berlangsung di hadapan bangunan Badan Peguam di ibu negara selepas mendapat kelulusan polis. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

KIRA-kira 30 individu orang berhimpun bagi memperingati mangsa kematian dalam tahanan selepas lewat menerima kelulusan polis.

Perhimpunan yang dinamakan “Black Thursday” diadakan di hadapan bangunan Badan Peguam di Kuala Lumpur, dengan kehadiran anggota polis yang membuat pemantauan.

Pengarah Eksekutif Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) Khalid Mohd Ismath berkata beliau menerima mesej WhatsApp daripada polis berpangkat inspektor dari Balai Polis Dang Wangi yang memberi kebenaran untuk meneruskan himpunan berkenaan. 

Khalid berkata kelulusan itu diberikan kepadanya sekitar pukul 3 petang hari ini dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi. 

“Inspektor berkenaan meminta kami memendekkan himpunan kepada 30 minit dan menasihatkan kami agar tidak menggunakan perkataan kesat ketika memberi ucapan. 

“Jadi kami berterima kasih atas kelulusan yang diberikan dan dengan hormatnya kami akan mematuhi permintaan beliau,” kata Khalid kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu, polis memberitahu penganjur bahawa tiada kebenaran diperoleh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Keselamatan Negara untuk mengadakan perhimpunan.

Program itu bermula pada pukul 6.45 petang dan berlangsung kira-kira 30 minit. Beberapa anggota polis turut dilihat di kawasan berkenaan namun tidak mengganggu himpunan itu. 

Khalid juga berkata, mereka sanggup bekerjasama dengan polis sekiranya mereka dipanggil untuk disiasat berhubung himpunan berkenaan, namun berharap polis akan lebih bertolak ansur. 

“Sekiranya polis memanggil kami selepas himpunan ini untuk siasatan, kami akan beri kerjasama. 

“Namun, saya harap polis akan bertolak ansur kerana ia acara kecil dan bukan politik,” katanya. – 16 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen