PIHAK berkuasa agama tidak boleh mendakwa mana-mana syarikat yang menyebarkan buku berunsur Islam atas alasan ianya adalah syarikat, bukan manusia, kata peguam K Shanmuga di mahkamah hari ini.
Berdasarkan kes sebelum ini, beliau berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak ada hak untuk menyerbu pejabat syarikat penerbitan ZI Publications iaitu klien beliau Ezra Zaid pada 29 Mei, 2012.
“Struktur sistem Perlembagaan menyatakan undang-undang Islam hanya terpakai kepada individu muslim. Penerbitan, pengedaran dan penjualan buku itu semuanya dilakukan syarikat,” kata Shanmuga di mahkamah hari ini.
“Dalam undang-undang Persekutuan, bila seseorang pengarah itu didakwa atas kesalahan oleh syarikat, undang-undang membenarkan kuasa untuk berbuat demikian,” kata Shanmuga merujuk kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 dan Akta Cukai Pendapatan, yang menyatakan pengarah boleh didakwa.
“Enakmen jenayah syariah tidak mempunyai peruntukan untuk membuatkan pengarah bertanggungjawab atas kesalahan oleh syarikat,” tambahnya.
Ezra yang juga penyampai radio BFM memohon semakan kehakiman terhadap keputusan merampas buku - dan penangkapan serta dakwaannya - supaya dihapus dan diisytiharkan batal.
Shanmuga memberi contoh kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Kamaludin Md Said hari ini bahawa pernah terjadi sebuah kes di mana serangan berunsur keagamaan dan penyitaan yang terbukti salah.
Beliau berkata, pada Ogos 2015, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan untuk memihak kepada pengurus kedai buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz dengan membatalkan tawaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mendakwa beliau atas tuduhan mengedarkan buku penulis Kanada, Irshad Manji, Allah, Kebebasan dan Cinta.
“Jadi, dengan menggunakan contoh kes buku Borders, adalah tidak adil untuk mendakwa pengarah sebagai individu hanya kerana syarikat itu tidak boleh didakwa.”
Pada Mac 2013, Ezra yang juga anak kepada politikus Zaid Ibrahim telah didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana menerbit dan mengedarkan buku yang sama selain memiliki 180 terjemahan buku tersebut.
Kamaludin berkata, keputusan akan dicapai pada 17 Januari depan.
Pada Julai 2012, Ezra memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar kesahihan penyitaan dan kesahihan Seksyen 16.
Secara berasingan, beliau juga memfailkan sebutan kepada Mahkamah Persekutuan yang mempersoalkan kewibawaan dewan perundangan Selangor untuk membubarkan Seksyen 16 berkenaan dengan Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Sabitan di bawah mana-mana caj akan dikenakan denda maksimum RM3,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya. – 5 Disember, 2017.
Komen