PENGURUSAN kempen penyalahgunaan dadah Sarawak kini tidak lagi diletakkan di bawah kementerian kebajikan.
Kabinet negeri dalam mesyuaratnya hari ini menyerahkan pengurusan itu kepada Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Abang Johari Openg.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Fatimah Abdullah pada sidang media selepas mesyuarat itu berkata, salah satu sebab pengurusan itu ditukarkan ke majlis berkenaan kerana penyalahgunaan dadah kini mencapai tahap kritikal yang mana kabinet memutuskan ia sebagai ancaman kepada keselamatan negeri.
“Ia sangat kritikal. Ia menjejaskan banyak golongan muda.
“Pelajar juga terlibat,” katanya ketika ditanya sebab keputusan itu diambil.
Fatimah berkata, pertukaran itu merupakan satu langkah strategik.
“Saya melihatnya sebagai satu langkah strategik. Kini di bawah ketua menteri, ia menunjukkan betapa seriusnya kerajaan negeri melihat isu dadah ini, dan bagaimana komitednya kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini.”
Fatimah berkata, salah satu halangan terbesar yang dihadapinya adalah untuk mendapatkan dana bagi agensi persekutuan terlibat dalam kempen.
Menurutnya, setiap kali mengadakan pertemuan dengan agensi terlibat, salah satu cabaran yang sering dibangkitkan adalah kekurangan peralatan yang baik.
“Ia lebih mudah untuk kerajaan negeri sediakan peruntukan.”
Fatimah berkata permohonan peruntukan oleh agensi kerajaan boleh mengambil masa yang lama dan sukar.
“Di sinilah kerajaan negeri memainkan peranan.”
Menurut statistik polis berhubung tangkapan penyalahgunaan dadah menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 24% dari 2018 hingga 2019.
Pada 2018, jumlah tangkapan adalah 6,384 manakala jumlah tahun ini adalah 8,506.
Pada enam bulan pertama tahun ini, jumlah tangkapan sudah mencapai 5,077. – 16 Julai, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen