SPR belum puas hati sistem undi elektronik, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata SPR sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak yang terlibat dari dalam dan luar negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) masih belum berpuas hati dengan jaminan keselamatan dan kerahsiaan untuk melaksanakan kaedah pengundian secara elektronik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen Kota Baru berkata badan pengendali pilihan raya itu akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan diambil berkaitan cadangan berkenaan.

“Berhubung cadangan untuk mengaplikasikan kaedah pengundian secara elektronik dalam pilihan raya, SPR sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak yang terlibat dari dalam dan luar negara bagi meneliti kesesuaian kaedah pengundian ini.

“Penggunaan kaedah ini juga melibatkan beberapa cabaran baru berkaitan dengan isu-isu kerahsiaan, keselamatan, kos, dan pendidikan pengundi,” kata Takiyuddin.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Mahdzir Khalid (Umno-Padang Terap) yang meminta kerajaan menyatakan kesediaan SPR melaksanakan sistem pengundian elektronik, sebagai alternatif kepada kaedah konvensional susulan penularan Covid19.

“Pada masa ini proses penjalanan pilihan raya akan disesuaikan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19 selaras arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Perkara ini dilaksanakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini,” kata Takiyuddin lagi.

Beliau berkata, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat pengundian tambahan di kawasan daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih tinggi.

Bagi memastikan pilihan raya dilaksanakan dengan adil dan telus SPR akan meneruskan pelaksanaan penambahbaikan terhadap proses perjalanan pilihan raya seperti yang dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen