KOREA Selatan bercadang menawarkan bantuan kemanusiaan tambahan bernilai US$12 juta, bertujuan membantu 32 negara memerangi Covid-19, sebagai usaha global memerangi wabak itu, kata kementerian luar pada Khamis.
Program baharu itu sebagai tambahan kepada bantuan awal Seoul sebanyak $41 juta untuk 97 negara, lapor agensi berita Yonhap.
Di bawah program berkenaan, Seoul akan menyediakan pelitup muka, kit ujian Covid-19 dan peralatan antivirus lain di negara-negara tersebut.
“Berdasarkan penilaian komprehensif kami mengenai trend Covid-19 dan sejauh mana ia menjejaskan setiap negara, kerajaan merancang untuk terlibat secara aktif dalam usaha masyarakat antarabangsa menghadapi krisis Covid-19,” kata kementerian itu dalam kenyataan media.
Penerima program terbaharu termasuk Brazil, Iraq, Afghanistan dan negara-negara lain yang sosioekonominya terjejas teruk akibat bencana kesihatan global itu. Program itu menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan Covid-19 Korea kepada 108. – Bernama, 16 Julai, 2020.
Komen