Penyata hutang peneroka dimuktamad September, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Setakat ini, Felda sudah memuktamadkan lebih 20,000 daripada 77,000 penyata hutang peneroka yang terlibat dalam program penanaman semula, kata Mustapa Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

PENYATA hutang peneroka Felda akan selesai dimuktamadkan pada September depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Setakat ini, Felda sudah memuktamadkan lebih 20,000 daripada 77,000 penyata hutang peneroka yang terlibat dalam program penanaman semula, katanya.

“Bagi penghapusan faedah hutang kebun peneroka, Felda telah memuktamadkan lebih daripada 20,088 daripada 77,974 penyata hutang peneroka yang terlibat dengan program tanam semula.

“Proses memuktamadkan penyata hutang peneroka ini dijangka diselesaikan pada September 2020.”

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, menjawab soalan Ahli Parlimen Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan pelaksanaan Kertas Putih Felda.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, Felda juga sedang berunding dengan Kementerian Kewangan bagi penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bagi melaksanakan penstrukturan semula pinjaman agensi berkenaan.

Selain itu, tambahnya, bagi penyiapan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu Felda atau (PGBF), daripada 4,794 unit kediaman di 20 lokasi yang telah melepasi tahap 70% siap, 2,058 unit kediaman di 10 lokasi telah siap dibina dan mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Manakala baki 2,020 unit kediaman di enam lokasi dijadual siap menjelang penghujung tahun 2020 serta 716 unit kediaman di empat lokasi dijadual siap pada tahun 2021, katanya.

Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019 menggariskan pelbagai strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.

Antara strategi utama yang telah dan sedang dilaksanakan adalah menambah baik tadbir urus korporat, menangani masalah aliran tunai, merasionalisasi pelaburan dan kepentingan, memperkasa peneroka, mengukuhkan sistem perakaunan dan meningkatkan penglibatan dalam aktiviti hiliran. 

“Secara keseluruhannya, kesemua strategi yang dirancang di bawah Pelan Pemulihan Felda telah dan sedang giat dilaksanakan,” kata Mustapa.

Selain itu, beliau juga berkata, laporan pasukan khas yang diketuai bekas menteri kewangan Abdul Wahid Omar akan dibentangkan pada Ogos depan.

“Pasukan khas yang dipengerusikan oleh Abdul Wahid Omar ini mencari kaedah terbaik memastikan kemandirian dan kemampanan kewangan Felda untuk manfaat warga peneroka. 

“Pasukan ini telah mengadakan sesi libat urus dengan lembaga pengarah Felda, pengurusan kumpulan Felda, FGV dan pelbagai kumpulan berkepentingan bagi mendapat pandangan dan maklum balas berkaitan potensi dan penyelesaian isu-isu berkaitan Felda,” katanya, lagi. – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen