Kes baharu Covid-19 di AS terus meningkat


Seorang juruterbang memakai topeng muka berjalan melalui kawasan gerbang A Concourse di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 16 Julai, 2020.

JUMLAH kes baharu dan kematian Covid-19 terus meningkat di Amerika Syarikat semalam apabila Oklahoma dan Texas mencatatkan kenaikan baharu.

Universiti Johns Hopkins yang mengesahkan penyebaran virus itu semalam berkata sebanyak 67,632 kes baharu dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.

Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Negeri Texas melaporkan 10,791 kes baharu dan 110 kematian.

Gabenor Oklahoma semalam mengumumkan bahawa beliau disahkan positif virus itu – mencatatkan 1,075 kes baharu.

Alabama juga mencatat 47 kematian yang tertinggi dalam masa sehari.

Virus ini juga menyebar dengan cepat di negeri-negeri lain terutama di Florida yang mencatatkan hampir 302,000 kes Covid-19 sejak wabak itu bermula.

California mengalami lonjakan kes Covid-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang mendorong pegawai melaksanakan pengurungan semula.

Negeri ini melaporkan peningkatan kes tunggal dan kematian kedua dalam masa sehari semalam dengan 11,125 kes baharu dan 140 kematian.

“Kita berada dalam fasa membimbangkan dan berbahaya dalam pandemik ini di L.A County,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Awam Daerah Los Angeles Barbara Ferrer ketika mengumumkan 2,758 kes baharu dan 44 kematian tambahan akibat virus itu semalam.

“Kecenderungan yang membimbangkan ini mencerminkan tingkah laku dari tiga minggu lalu,” katanya yang menambah daerah itu melihat kadar kemasukan ke hospital tertinggi sejak awal wabak berkenaan.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 2,193 orang dimasukkan ke hospital di daerah ini kerana virus berkenaan.

Model penyelidikan terbaru menunjukkan jumlah kematian AS meningkat menjadi lebih 150,000 pada bulan depan.

Angka kematian pada masa ini berjumlah lebih 136,000 orang dan terdapat lebih 3.5 juta orang yang dijangkiti wabak berkenaan. – Bernama, 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen