INDUSTRI sarung tangan getah Malaysia, yang merupakan pembekal terbesar di dunia, berdepan kekurangan tenaga kerja walaupun permintaan meningkat disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) Denis Low berkata sistem pelaksanaan tugas tidak dapat memenuhi keperluan pekerja.
“Kita berdepan masalah pekerja dan kita sangat memerlukan lebih ramai pekerja, baik tempatan serta migran.
“Kita percaya penduduk tempatan sekarang dapat keluar untuk bekerja dan meringankan kebergantungan terhadap pekerja asing,” katanya.
Beliau menjawab soalan adakah industri itu berdepan kekurangan tenaga kerja akibat pembekuan pengambilan pekerja asing.
Beliau menambah pembuat sarung tangan juga sudah mengubah dan mengautomasikan prosesnya besar-besaran tetapi masih ada segmen yang memerlukan penglibatan tenaga kerja.
“Secara keseluruhan permintaan sarung tangan akan berterusan sehingga 2021 dan logik untuk pengeluar berkembang secepat yang mungkin,” katanya.
Pengerusi dan pengasas Top Glove Corp Lim Wee Chai baru-baru ini berkata kepada Bernama bahawa tidak realistik untuk mengharapkan hanya penduduk tempatan mengisi kekosongan jawatan dan ini akan mengurangkan daya saing Malaysia.
Pengeluar sarung tangan terbesar di dunia menggaji 2,500 rakyat Malaysia tahun lalu yang menjadi sebahagian daripada 19,000 tenaga kerja global syarikat itu.
Bagaimanapun mereka masih berdepan masalah kekurangan sumber manusia dalam memenuhi permintaan yang meningkat kerana Covid-19.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata bulan lalu pengambilan pekerja asing dibekukan sehingga akhir tahun ini.
“Kami tidak dibenarkan (pengambilan) pekerja asing sehingga akhir tahun,” katanya kepada wartawan pada sidang media.
Beliau berkata keutamaan sekarang adalah membantu penduduk tempatan mencari pekerjaan.
Kerajaan akan menilai keadaan pada akhir tahun sebelum mempertimbangkan untuk membenarkan pengambilan pekerja asing. – 17 Julai, 2020.
Komen