PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro didapati positif sekali lagi selepas menjalani ujian baharu pada Selasa, lapor CNN Brazil pada Rabu.
Bolsonaro, 65, berada dalam kumpulan berisiko tinggi, berkata beliau akan terus menjalani kuarantin di kediaman rasminya di Brasilia dan terus bekerja melalui sidang video.
Presiden sayap kanan, yang menimbulkan kontroversi besar di Brazil kerana berulang kali melanggar tindakan pencegahan membendung penyebaran virus, pertama kali diuji positif seminggu yang lalu.
Beliau mengakui pada Isnin melalui wawancara telefon dengan CNN yang beliau “tidak tahan dengan rutin tinggal di rumah ini” dan tidak sabar diberi kebenaran untuk meninggalkan rumah.
Beliau memberitahu saluran televisyen itu yang beliau tidak mengalami gejala seperti demam atau kesukaran bernafas sejak 6 Julai.
Dan menambah akan terus mengambil ubat anti-malaria hydroxychloroquine.
Ubat ini dijadikan sebagai rawatan untuk Covid-19 di banyak negara - tetapi keberkesanannya belum terbukti secara formal dan ia menimbulkan isu di kalangan komuniti saintifik global.
Beliau akan menjalani ujian baharu “dalam beberapa hari akan datang.”
Sejak diagnosisnya pada 7 Julai, Bolsonaro berada di istana presiden bersama beberapa individu yang dijangkiti virus tersebut.
Ia berbeza dengan rutin hariannya termasuk meninggalkan kediaman untuk bertemu penyokongnya, sering kali mengabaikan langkah penjarakan sosial dan tanpa memakai pelitup muka.
Selain turut serta dalam panggilan video, Bolsonaro dilihat memberi makan rheas - spesies burung yang berasal dari Amerika Selatan seperti burung unta dan emu - di kebun kediaman rasminya.
Brazil adalah negara kedua paling teruk terjejas di dunia oleh koronavirus selepas Amerika Syarikat, dengan lebih 74,000 orang mati dan 1.9 juta kes. – AFP, 16 Julai, 2020.
Komen