DBKL gaji graduan menganggur kerana PKP


Aminah Farid

Program penempatan kerja itu dilakukan di bawah MYJobs@Wilayah selaras dengan agenda Wilayah Prihatin, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

LEBIH 400 kerja sambilan harian ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada graduan menganggur yang terjejas kerana wabak Covid-19, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Program penempatan kerja itu dilakukan di bawah MYJobs@Wilayah selaras dengan agenda Wilayah Prihatin, terdiri daripada empat inisiatif bermatlamat membantu mengurangkan kesan wabak Covid-19 kepada penduduk Kuala Lumpur.

Bercakap pada majlis penyerahan surat lantikan hari ini, Annuar berkata calon ditemuduga bulan lepas dan hampir 500 orang hadir temuduga itu.

Jelasnya, gaji bergantung kepada kelayakan pendidikan, dengan pemegang ijazah meraih gaji harian RM100 sehari bersamaan dengan RM3,000 sebulan.

“Kami menggalakkan majlis perbandaran untuk menguruskan program kerja sambilan ini kerana ia salah satu usaha membentuk peluang pekerjaan pantas dengan memberi keutamaan kepada mereka yang baru kehilangan kerja ketika perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

“Kerana itu, kami berharap dengan memberi rakyat peluang untuk bekerja di DBKL, kami dapat menyediakan pilihan dan menjadi proses pengambilan berlaku dengan cepat ketika masa sukar ini.”

Katanya, program itu dibuat berdasarkan keperluan DBKL.

“Program kerja sambilan harian berdasarkan keperluan DBKL, dengan sumber kewangan disediakan DBKL, kami akan menampung gaji yang akan berjumlah sehingga RM14 juta.”

Antara sektor ditawarkan DBKL termasuklah perkhidmatan, pembinaan, penyelenggaraan, pembersihan, pembuatan dan pembungkusan.

Menerusi inisiatif MYJobs@Wilayah itu, DBKL sedang mencari 500 jawatan sambilan lagi untuk graduan menganggur.

Menyentuh isu 360 orang gelandangan yang ditempatkan di pusat perlindungan DBKL ketika PKP, Annuar berkata mereka masih menjalani latihan sementara bakinya sudah mendapat kerja di tempat lain.

“Malah, ada yang sedang menjalani latihan sekarang sudah ditawarkan kerja dua hari lepas,” katanya.

Tambahnya, beberapa syarikat turut tampil menemuduga gelandangan tersebut dan menawarkan mereka kerja.

“Kami mahu menggalakkan lagi lebih banyak syarikat tampil dan beri kerja kepada gelandangan di bawah program kami,” katanya.

“Pada masa sama, DBKL juga mungkin mengambil mereka yang masih menjalani latihan,” tambahnya.

Bulan lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan berkata lebih 300 orang gelandangan sedang menjalani latihan di Sepang selama sebulan, 60 orang lagi dihantar ke pusat latihan di Kuantan selama tiga bulan, dengan kosnya ditanggung kementerian. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen