Pusat mangsa banjir perlu patuhi SOP Covid-19, kata KP Kesihatan


Pusat penempatan sementara mangsa banjir berisiko jadi kawasan wabak kerana ramai orang bersesak dan SOP kebersihan perlu dipatuhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

LANGKAH pencegahan Covid-19 perlu dikuatkuasa di pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir bagi mengelak penularan jangkitan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada masa ini terdapat 18 PPS yang dibuka di tujuh daerah kerana banjir kilat di Johor, Pahang, Selangor dan Melaka.

Pusat itu kini menempatkan 1,267 mangsa daripada 303 buah keluarga.

“Keadaan penghuni yang ramai di PPS boleh membawa risiko penularan jangkitan Covid-19 di kalangan mangsa dan petugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata langkah pencegahan itu perlu dipatuhi mangsa banjir dan agensi bertugas menguruskan kebajikan mangsa.

Beliau turut menasihati semua pihak mengamalkan penjarakan sosial, kerapa mencuci tangan dengan sabun dan air serta etika batuk bersin.

“Semua PPS perlu meletakkan tanda menjaga jarak fizikal yang selamat di tempat-tempat yang melibatkan kawasan guna sama,” katanya lagi.

Selain itu, PPS juga dihendaki menyediakan sabun, air dan pencuci tangan di lokasi strategik seperti pintu keluar masuk.

Penghadang, khemah dan kubikel pula perlu didirikan dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu sama lain, sekiranya kawasan membolehkan ia dilakukan.

KKM juga sudah menyediakan garis panduan kepada PPS, bermula daripada proses pemindahan sehinggalah kepada penempatan mangsa di pusat itu.

Garis panduan itu yang juga boleh digunakan dalam bencana lain turut memerlukan semua PPS menyediakan pelitup muka tiga lapis kepada penghuni yang bergejala.

Makanan pula perlu diletakkan dalam bungkusan individu atau bekas makanan.

Selain itu, PPS juga dihendaki menyediakan kemudahan tandas mudah alih dan sentiasa mencuci kawasan guna sama.

Manakala, kawasan pengasingan juga perlu disediakan bagi menempatkan mangsa bergejala serta kontak rapat atau mereka yang ada rekod perjalanan ke luar negara. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen