5 kes baharu Covid-19, 2 pulih


Ragananthini Vethasalam

MALAYSIA hari ini melaporkan lima kes baharu Covid-19, empat daripadanya jangkitan tempatan.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 8,734, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga daripada empat kes jangkitan tempatan dikesan di Sarawak dan membabitkan dua warganegara dan seorang warga asing.

Daripada dua rakyat Malaysia terbabit, satu kes dikesan ketika ujian saringan pegawai kesihatan di pusat penjagaan kesihatan. Seorang lagi ialah kontak rapat kepada kes positif itu.

Kes jangkitan membabitkan warga asing dikesan selepas pesakit terbabit mengalami simptom dan pada masa ini dirawat di Hospital Besar Sarawak.

Jangkitan tempatan keempat dikesan ketika ujian saringan pra pembedahan di  Hospital Sungai Buloh.

Kes jangkitan import membabitkan seorang warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas tujuan bekerja.

Tiada kematian dilaporkan hari ini dan kes aktif kekal 86 kes, selepas dua pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes pesakit pulih sebanyak 8,526 atau 97.6% daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

Lima pesakit bagi kes aktif pada masa ini dirawat di unit rawatan rapi, dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kematian kekal 122 kes. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen