Kerajaan akan bawa pulang jemaah tabligh Malaysia terkandas di India


Mohd Farhan Darwis

Mereka tidak dapat pulang kerana sekatan perjalanan dan tindakan undang-undang, kata Hishammuddin Hussein. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

KERAJAAN akan membawa pulang seramai 189 orang jemaah tabligh dari Malaysia yang terkandas disebabkan sekatan undang-undang, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, jemaah berkenaan tidak dapat pulang sama sekali disebabkan sekatan perjalanan dan tindakan undang-undang di negara tersebut bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ketika ini, kementerian luar negeri sedang menyelaras usaha membawa pulang semua jemaah tabligh menerusi satu pesawat sewaan khas pada 17 Julai 2020.

“Jumlah jemaah tabligh yang dijangka dibawa pulang menerusi pesawat ini adalah seramai 136 orang termasuk sembila yang berada di Kolkata dan dua dari Sahranpur.

“Manakala 52 jemaah tabligh Malaysia yang lain masih menjalani proses perundangan dan seorang lagi yang berada di Amravathi bebas pertuduhan,” kata Hishammuddin, lagi.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, kebanyakan daripada jemaah tabligh Malaysia itu ditahan atas tuduhan menyalahguna visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

“Setakat hari ini, saya dimaklumkan seramai 125 jemaah tabligh di New Delhi telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut pada 9 dan 10 Julai.

“Rakyat Malaysia perlu faham mereka sememangnya bersalah kerana telah melanggar undang-undang kerajaan India,” kata Hishammuddin, kepada pemberita.

Katanya, daripada 189 jemaah tabligh yang berada di India, 157 berada di New Delhi, 23 di Chennai, dan 9 di Mumbai.

Sehubungan itu, perwakilan Malaysia di India katanya akan memastikan kebajikan mereka semua terpelihara.

Hishammuddin berkata, setakat 14 Julai 2020 juga, terdapat kira-kira 317 rakyat Malaysia yang terkandas di 37 buah negara.

Daripada jumlah itu, 191 dikategorikan sebagai berada dalam keadaan kritikal dan tiada peluang untuk pulang, termasuk anggota jemaah tabligh tersebut.

Mereka berada di luar negara bagi tujuan jangka pendek seperti melancong, urusan perniagaan, khidmat profesional, melawat keluarga dan lawatan keagamaan, katanya. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen