2 Adun DAP kekal dalam jawatankuasa MA63


Desmond Davidson

Dua ahli DAP berkata mereka akan terus kekal dalam Jawatankuasa Perundingan berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

DUA ahli DAP berkata mereka akan terus kekal dalam Jawatankuasa Perundingan berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 Sarawak, walaupun menyokong tindakan Adun Batu Lintang See Chee How meletak jawatan semalam.

Dalam kenyataan bersama Chiew Chin Sing (Tanjong Batu) dan Irene Chang (Bukit Assek) berkata walaupun mereka menghormati keputusan See untuk meletak jawatan daripada jawatankuasa itu, mereka memilih untuk kekal memainkan peranan yang diamanahkan oleh parti, dewan undangan negeri dan rakyat Sarawak.

“Kami akan terus melindungi kepentingan khas, hak dan kedudukan Sarawak seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Semua usaha akan dilakukan bagi memastikan harapan rakyat Sarawak dipenuhi untuk mendapatkan lebih kuasa autonomi untuk negeri ini, menerusi peranan kami dalam Jawatankuasa Perundian itu,” kata mereka.

See, bekas naib pengerusi PKR Sarawak sebelum disingkirkan kerana berpihak kepada bekas timbalan presiden parti Azmin Ali, meletak jawatan daripada jawatankuasa itu sebagai protes terhadap kerajaan negeri melangkaui jawatankuasa dalam rundingan dengan Petronas dan Putrajaya berhubung penyelesaian cukai jualan negeri dan hal lain.

See, yang menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata tindakan kerajaan negeri akan membuka kepada dakwaan kurang ketelusan dalam rundingan dengan syarikat petroleum negara dan kerajaan persekutuan.

Sarawak dalam perbalahan berkenaan jumlah yang perlu dibayar oleh Petronas kepada kerajaan negeri. – 15 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen