KOREA Selatan akan mengguna pakai sistem amaran di 50 pantai utama di negara itu, bertujuan melarang pengunjung tambahan berada di kawasan yang terlalu ramai, dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Di bawah sistem itu, pihak berkuasa akan mengeluarkan amaran “merah” apabila bilangan pengunjung di pantai melebihi jumlah ditetapkan untuk memastikan penjarakan sosial dapat dipatuhi, menurut Kementerian Laut dan Perikanan pada Rabu.
Perkhidmatan menyewa peralatan pantai juga ditangguhkan, lapor agensi berita Yonhap.
Kerajaan juga memberi pilihan kepada pihak pengurusan pantai mengeluarkan amaran “kuning” untuk memberitahu pengunjung supaya memilih lokasi lain yang berdekatan.
Bermula 25 Julai, pelancong dilarang makan atau minum di pantai pada waktu malam. Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga 3 juta won (AS$2,497) di bawah undang-undang kawalan penyakit.
Berikutan sekatan perjalanan antarabangsa, penduduk Korea Selatan menghabiskan cuti musim panas di dalam negara, menyaksikan kira-kira 200 pantai di seluruh negara dibuka kepada pengunjung. – Bernama, 15 Julai, 2020.
Komen