Pakatan buru undi wanita Felda


Zulkifli Sulong

Usaha untuk mencengkam nurani pengundi wanita Felda kian rancak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 apabila Pakatan Harapan menubuhkan sebuah NGO baru khusus untuk wanita iaitu Feldanita.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Disember, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) menubuhkan sebuah persatuan wanita Felda sebagai usaha merebut undi berharga yang boleh menentukan kedudukan lebih 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Persatuan yang diberi nama Feldanita itu ditubuhkan hasil kerjasama antara Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dengan Wanita PH, bertujuan mendekati golongan wanita di kawasan Felda.

“Tugas kami adalah memberikan perkhidmatan kepada semua wanita di Felda dan sasaran utama kami adalah membantu wanita Felda agar meningkatkan peranan mereka dalam membina negara termasuk di peringkat membuat dasar,” kata pengerusi penajanya, Anis Afida Mohd Azli.

Anis, yang juga ketua Wanita Muda PH, berkata lebih separuh pengundi di kawasan Felda adalah wanita, yang boleh mempengaruhi undi di 54 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia

Johan Saravanamuthu, profesor sains politik dari Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura dalam satu tulisannya di Aliran, menulis Felda mempunyai 1.2 juta pengundi di seluruh negara.

Feldanita dijangka akan bersaing dengan Gerakan Persatuan Wanita, badan sedia ada khusus memberi khidmat kepada wanita Felda di seluruh Malaysia yang dinaungi oleh agensi kerajaan itu.

Anis, 29, generasi ketiga Felda Air Tawar di Pengerang, Johor, akan mengetuai pemukiman 200 wanita Felda dari seluruh Malaysia yang akan diadakan di Shah Alam, minggu depan.

“Kami akan perkenalkan Feldanita dalam pemukiman ini dan peranan kami dalam memberdayakan wanita Felda,” katanya.

Pengaruh kawasan Felda

Enam daripada 54 kerusi Parlimen di kawasan Felda kini disandang oleh PH iaitu Kulai (DAP), Pagoh (Bersatu), Raub (DAP), Temerloh (PAS), Dungun (PAS) dan Sungai Siput (PSM).

Sebanyak 14 daripada 50 kerusi Parlimen marginal yang menjadi sasaran PH juga ada kawasan Felda di dalamnya iaitu Tebrau, Segamat, Labis, Bentung, Bera, Hulu Selangor, Sik, Simpang Renggam, Sekijang, Jerantut, Cameron Highland, Tanjung Malim, Jempol dan Alor Gajah.

Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Maszlee Malik, 70% pengundi wanita mengundi Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 yang lalu dengan 52% pengundi di seluruh negara adalah wanita.

Menurut Presiden Anak, Mazlan Aliman, hanya 15% pengundi wanita di Felda mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13 lalu.

“PH perlukan lonjakan 10% lagi pengundi wanita di Felda, menjadikannya 25%, membolehkan mereka menang kerusi yang cukup untuk membolehkan PH ke Putrajaya,” kata Mazlan, yang juga AJK Pusat Amanah, kepada The Malaysian Insight.

Menurut Timbalan Ketua Umno Bahagian Maran, Shahaniza Shamsuddin, jika diandaikan pembangkang mampu menambah 23 kerusi Parlimen di kawasan Felda maka berakhirlah era pemerintahan BN.

“Kami di Pahang ada 12 kerusi Parlimen yang di dalamnya kawasan Felda, 10 BN menang dan tewas dua kerusi manakala di peringkat DUN BN memenangi 27 kerusi manakala empat kerusi jatuh ke tangan pembangkang,” katanya pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

Menurut sumber bilik gerakan pilihan raya PH, pakatan pembangkang itu ada peluang untuk menang di 31 kerusi yang mempunyai kawasan Felda, lapan kerusi di Johor, Pahang (7), Kedah (5), Negeri Sembilan (3), dan masing-masing 2 kerusi di Sabah, Perak dan Terengganu serta satu kerusi di Selangor dan Kelantan.

Anis Afida, tokoh di belakang bantahan projek Rapid di Pengerang, Johor berkata Feldanita menggunakan pendekatan 'membantu' wanita dan bukannya bermain politik dengan mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Disember, 2017.

Membantu bukan berpolitik

Anis, yang aktif berkempen membantah projek loji penapis minyak dan petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor, juga berkata pendekatan yang akan diambil oleh Feldanita ialah “membantu’ wanita Felda, bukannya bermain politik dengan mereka.

“Kalau selama ini peranan ini dimainkan oleh GPW semata-mata, Feldanita akan menawarkan diri juga untuk membantu wanita terutama generasi kedua dan ketiga Felda,” kata graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai ini.

Menurutnya, wanita Felda sering jadi mangsa menanggung kesan gejala sosial dan masalah jenayah yang kian menular di kawasan Felda.

Katanya, apabila peneroka Felda sudah tua dan ramai yang sudah meninggal, kerja-kerja di ladang diserahkan kepada pekerja asing.

“Felda telah menjadi petempatan pekerja asing yang sangat tinggi. Antara implikasinya ialah berkembangnya jenayah dan masalah sosial apabila komuniti ini besar dan wanita adalah antara mangsa mudah mereka.

“Kami mahu memberikan fokus kepada kegiatan yang boleh membantu mengurangkan kesan sampingan ke atas wanita ekoran masalah ini,” kata Anis, yang juga bekas calon PAS di DUN Penawar, Johor pada PRU13 lalu.

Beliau yakin dengan aktiviti berfaedah yang dirancang Feldanita, jenayah dan gejala sosial yang melibatkan wanita Felda dapat dikurangkan. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen